BERITA SUKAN AM
Kejohanan MSSM: Sarawak terus kuasai acara lempar cakera
Sarawak terus mengungguli acara lempar cakera Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) apabila Ngu Ing Biao memecah rekod kejohanan untuk bergelar juara kategori 18 tahun ke bawah buat kali ketiga berturut-turut di Stadium Panasonic, Shah Alam, hari ini.
Susulan kejayaan Jonah Chang Anak Riban menjuarai kategori 15 tahun ke bawah dengan rekod baru kejohanan, tumpuan terarah kepada Ing Biao yang memenangi kategori 18 tahun ke bawah sejak dua tahun lalu.
Selain memburu kejuaraan, Ing Biao bertekad memadamkan rekod lemparan sejauh 52.84m yang dilakukannya pada edisi 2016.
Iklan
Dia mempamerkan lemparan konsisten untuk mendahului saingan tetapi hanya dalam percubaan terakhir, dia dapat mengatasi rekod berkenaan menerusi catatan 54.65m yang juga catatan peribadi terbaiknya.
Pingat perak menjadi milik atlet Sabah, Mirach Han, dengan lemparan sejauh 48.54m, diikuti Muhammad Faiz Mohd Zaid dari Terengganu untuk gangsa.
"Saya gembira dan ingin berterima kasih kepada jurulatih. Saya juga berpuas hati dengan persembahan pada hari ini, terutama apabila dapat memecahkan rekod kejohanan, sekali gus membuatkan saya yakin untuk ke Sukan Malaysia (Sukma)," kata Ing Biao.
Sementara itu, saingan trek menyaksikan acara 110m berpagar lelaki 18 tahun ke bawah dimenangi Mohd Irfan Izzan Mohd Fetry yang mewakili Perak dengan catatan 13.73s.
Dia mengatasi tentangan atlet Johor, Wong Chun Yee, dan Mohd Norhazim Ahmad dari Sarawak dengan masing-masing menamatkan saingan di kedudukan kedua dan ketiga.
Sementara itu, atlet Negeri Sembilan, Nur Nabila Mohd Rosli, mengatasi kekecewaan selepas mengungguli acara 100m berpagar perempuan 18 tahun ke bawah.
Selepas dua tahun berturut-turut menjadi naib juara, pingat emas akhirnya menjadi miliknya selepas meraih catatan 15.27s, mengatasi Ezla Joanes dari Sabah dan atlet Pahang, Nur Atikah Azman.
"Saya berpuas hati kerana catatan masa hari ini adalah yang terbaik secara peribadi. Selama dua tahun, saya hanya meraih pingat perak. Jadi, saya amat bersyukur membawa pulang emas pada kali ini.
"Saya akan cuba untuk terus memperbaharui catatan masa peribadi selepas ini," ujar Nabila.
Must-Watch Video