HOKI
Jurulatih sahkan Faizal Saari positif COVID-19
Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj, mengesahkan penyerang negara, Faizal Saari, merupakan individu yang positif virus COVID-19 sehingga skuad negara terpaksa memilih untuk tidak menyertai Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Dhaka, Bangladesh bermula Selasa depan.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa pasukan bimbingan Arul itu tidak akan ke Bangladesh bagi mematuhi arahan dan pandangan daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) juga kementerian-kementerian yang bertanggungjawab mengenai hal pandemik COVID-19 di Malaysia.
Berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), skuad kebangsaan perlu menjalani kuarantin kendiri dari 8 Disember lalu hingga Selasa depan.
Iklan
Tambah KHM, keputusan penarikan diri itu diambil selepas melihat situasi yang berlaku kepada Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan selain kebarangkalian jangkitan COVID-19 yang boleh menjangkiti pemain sewaktu perjalanan ke Dhaka.
Arul, dalam satu temu bual Nadi Weekend hari ini, mengesahkan bahawa individu yang disahkan positif virus berkenaan adalah Faizal tetapi menegaskan situasi itu boleh berlaku kepada mana-mana pihak dan berharap ia akan menjadi pengajaran agar tidak berulang pada masa akan datang.
"Saya rasa semua orang sudah tahu, dia adalah pemain senior, Faizal Saari.
"Sudah pasti kami semua kecewa tetapi perkara seperti ini boleh berlaku kepada semua orang yang bermain sukan secara aktif.
"Jadi, apa-apa yang anda lakukan akan ada impaknya buat pasukan dan rakan-rakan.
"Sudah pasti ia bukan niatnya tetapi ia menjejaskan seluruh pasukan. Kita tidak boleh lari daripada perkara itu dan kami perlu mengambil tanggungjawab berkenaan secara satu pasukan.
"Kami perlu lebih bijak pada masa akan datang kerana setiap apa yang anda lakukan akan ada impaknya kepada pasukan.
"Dan kali ini, impaknya lebih besar kerana kami mahu menyertai kejohanan.
"Jadi, itu adalah satu pengajaran yang perlu dipelajari pemain berkenaan," katanya.
Terdahulu, seorang pemain wanita negara, Nurul Faezah Shafiqah Khalim, dikesan positif koronavirus sebaik tiba di Donghae, Korea Selatan dan skuad negara terpaksa pulang daripada ACT Wanita tanpa dapat beraksi sebarang perlawanan.
Skuad hoki negara ??? sah tarik diri dari kempen Trofi Juara-Juara Asia ekoran kes Covid-19 ?@hockeymalaysia pic.twitter.com/CTVedEfFvc— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) December 11, 2021
Must-Watch Video