Skip to main content

Sukan Lain

Jurulatih dari China jadi taruhan skuad ping pong negara

leewei.jpg
Ketua jurulatih skuad ping pong negara, Beh Lee Wei, mampu menarik nafas lega dengan perancangan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) melantik seorang jurulatih dari China bagi membantu skuad negara menjelang Kejohanan Dunia 2019 dan Sukan SEA di Filipina.

TTAM sebelum ini telah mengenal pasti calon jurulatih luar negara, khususnya dari China, bagi membimbing skuad negara tahun ini.

Bagi Lee Wei, perancangan itu tepat pada waktunya tatkala beliau dan seorang lagi jurulatih, Beh Lee Feng, sememangnya memerlukan sokongan tambahan, apatah lagi skuad ping pong sebelum ini sudah agak lama tidak menerima sentuhan dari luar negara.

Lee Wei, yang telah mengendalikan pasukan sejak 2015, berharap jurulatih berkenaan dapat hadir sebelum Kejohanan Dunia bermula April depan.

"Ia merupakan satu langkah yang baik. Kehadiran jurulatih dari China ini akan membantu menaikkan prestasi atlet negara," katanya.

Selain itu, Lee Wei turut berpuas hati dengan pencapaian dua atlet, Muhamad Ashraf Haiqal dan Leong Chee Feng, yang telah menarik perhatian kelab dari luar negara apabila masing-masing akan terbang ke Jerman dan Amerika Syarikat bulan depan untuk beraksi di sana.

"Beraksi di luar negara ini membuka mata negara luar bahawa Malaysia memiliki atlet ping pong dan langkah ini akan meningkatkan lagi pengalaman serta kualiti permainan mereka," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video