Skip to main content

Hoki

Jerman, Belanda atur pertemuan dengan skuad hoki negara

hoki-malaysia-060717.jpg
Reputasi skuad hoki negara makin melonjak apabila gergasi dunia seperti Jerman dan Belanda sanggup datang ke Malaysia untuk mengadakan aksi persahabatan, sekaligus menjimatkan dana Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hingga ratusan ribu ringgit. 

Kejayaan Malaysia meraih tangga keempat dalam separuh akhir Liga Hoki Dunia di London, bulan lalu, membuka mata pasukan handalan dunia. 

Bekas juara dunia dan Sukan Olimpik, Jerman, serta juara di London, Belanda, sanggup datang ke negara ini untuk menguji skuad kendalian Stephen Van Huizen. 

Mereka berpendapat The Malaysian Hockey Tigers memiliki kualiti muncul gergasi benua Asia, tambahan pula selepas mengatasi pencapaian India, Pakistan, China dan Korea Selatan di London.

"Sebelum ini, mereka tidak berminat kalau kami mahu mengadakan perlawanan persahabatan dengan mereka," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

"Mungkin kerana mereka berasakan kita tidak setanding dengan mereka. 

"Tetapi pada hari ini, mereka melihat kita dari perspektif berbeza. 

"Ini satu perkara positif kepada Malaysia," tambahnya.  

Sebelum ini, peluang terbaik Malaysia untuk menguji gergasi dunia ialah dalam Piala Sultan Azlan Shah. 

Namun, Jerman dan Belanda sudah lama tidak mengambil bahagian. 

Mengulas kejayaan di London, KHM sedang menilai ganjaran setimpal terhadap pemain dan pegawai skuad negara.

"KHM tidak pernah menghampakan mereka," kata Subahan. 

"Insya-Allah kami akan berbincang dan memberikan ganjaran setimpal."

"Apapun, kami perlu melihat kepada kemampuan juga." 

Pemain negara diminta melaporkan diri dalam kem kebangsaan pada 13 Julai ini. 
 

Advertisement

Must Watch Video