Skip to main content

Tenis

Jangan menangis, anda telah buat yang terbaik, kata Serena kepada Yastremska

serenawilliams.jpg
Serena Williams memaparkan semangat kesukanan yang luar biasa selepas dia memuji dan menenangkan Dayana Yastremska yang kesedihan selepas tidak dapat menandingi juara kejohanan grand slam 23 kali itu dalam Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne Park, sebentar tadi.

Jurang umur ketara dapat dilihat dalam perlawanan pusingan ketiga itu, dengan Serena yang sudah menginjak usia 37 tahun mengatasi Yastremska yang hanya berusia 18 tahun.

Pemain remaja Ukraine itu jelas tidak dapat menandingi kehebatan Serena yang unggul memastikan kemaraan ke pusingan 16 dengan kemenangan 6-2, 6-1 di Arena Rod Laver.

Yastremska -- pemain pertama yang lahir dalam era millenium berjaya memecah kelompok 100 pemain terbaik Persatuan Tenis Wanita (WTA) musim lalu -- tidak dapat mengawal emosinya dan dilihat minitiskan air mata sejurus tamat perlawanan.

Namun, terdapat detik menyentuh hati terhadap suasana itu.

"Anda telah melakukannya dengan hebat. Anda telah melakukan yang terbaik.

"Jangan menangis, anda pemain yang hebat," pujukan Serena itu dapat didengari di Arena Rod Laver bagi menenteramkan perasaan sedih yang menyelubungi lawannya itu.

Serena, yang akan bertemu sama ada pilihan utama kejohanan, Simona Halep, atau kakaknya, Venus, terus memuji Yastremska dalam wawancara pasca-perlawanannya.

"Bagi saya, dia telah melakukannya dengan hebat dan amat berani.

"Saya dapat rasakan dia sudah cukup bersedia untuk menentang saya.

"Ketika masih muda, saya berdepan Lindsay Davenport, Martina Hingis dan Monica Seles.

"Kesemua yang saya jumpa itu adalah pemain ternama dunia.

"Setiap perlawanan itu menakutkan, namun setiap kali anda turun bertarung, anda perlu melakukannya sebaik mungkin.

"Bagaimana pula saya boleh lupakan Venus? Dia sentiasa menakutkan saya," tambah bekas pemain nombor satu dunia itu.

Advertisement

Must Watch Video