Skip to main content

Sukan Lain

Jackie letak sasaran beraksi dalam Sukan Komanwel

3917jackie.jpg
Selepas berjaya merangkul emas dalam acara baling tukul besi serta memecahkan rekod Sukan SEA dan kebangsaan, misi seterusnya bagi atlet negara, Jackie Wong, adalah layak ke Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia yang hanya kurang lapan bulan dari sekarang.

Jackie kini pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi dengan catatan 65.90 meter untuk merangkul emas dalam Sukan SEA, sekaligus mengatasi rekod yang dilakarnya ketika Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan, Jun lalu, 65.34m.

Selepas tamat Sukan SEA Kuala Lumpur, misi terbarunya adalah untuk cuba melayakkan diri ke Sukan Komanwel, Gold Coast, pada April 2018.

Berdasarkan catatan kelayakan minimum yang diperlukan, iaitu 65.30m, Jackie berada dalam kedudukan baik untuk berada dalam kontijnen Malaysia ke temasya itu.

"Saya akan cuba yang terbaik untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel dan beraksi dalam pusingan akhir di Gold Coast nanti," katanya.

Tambah Jackie, dia kini akan pulang ke kampung halaman di Sarawak untuk berehat seketika sebelum kembali meneruskan sesi latihannya.

Ketika Sukan Komanwel Glasgow 2014, Jackie gagal untuk mara ke pusingan akhir selepas sekadar membuat balingan sejauh 59.24m untuk menamatkan saingan di tempat ke-18 daripada 20 peserta bersaing.

"Walaupun berjaya merekodkan catatan terbaru Sukan SEA dan kebangsaan, jurulatih saya telah mengenal pasti bahawa terdapat kelemahan dalam balingan saya. Ia merupakan petanda yang baik untuk saya memperbaiki kelemahan itu bagi menjadi lebih baik pada masa akan datang."

Advertisement

Must Watch Video