Skip to main content

Sukan Lain

Jackie idam slot ke Sukan Komanwel

jackie-wong_2.jpg
Setelah berjaya merangkul pingat emas dalam acara baling tukul besi lelaki serta memecahkan rekod Sukan SEA dan kebangsaan, Jackie Wong kini mengalihkan tumpuan ke Sukan Komanwel Gold Coast, Australia  yang bakal membuka tirai kurang lapan bulan dari sekarang.

Jackie, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 65.90 meter, merangkul emas dalamSukan SEA, sekaligus mengatasi rekod 65.34m yang dilakarnya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan, Jun lalu.

Selepas berakhirnya KL2017, misi terbarunya kini adalah untuk cuba melayakkan diri ke Sukan Komanwel.

Berdasarkan catatan kelayakan minimum yang diperlukan, iaitu 65.30 meter, Jackie kini berada dalam kedudukan terbaik untuk menyertai kontinjen Malaysia ke temasya itu.

"Saya ingin cuba melayakkan diri ke Sukan Komanwel dan berharap mara ke final," katanya.

Tambah Jackie, dia kini akan pulang ke kampung halamannya di Sarawak untuk berehat seketika sebelum kembali meneruskan sesi latihannya.

Ketika di Glasgow tiga tahun lalu, Jackie gagal mara ke pusingan akhir selepas sekadar membuat balingan sejauh 59.24 meter untuk menamatkan saingan di tempat ke-18 daripada 20 peserta bersaing.

"Selepas acara saya minggu lepas, meskipun berjaya mencatat rekod baru kebangsaan dan rekod Sukan SEA, jurulatih melihat masih ada beberapa kelemahan daripada segi teknik dan kekuatan.

"Inilah peluang saya untuk memperbaiki kelemahan itu supaya dapat bersaing di tahap yang lebih tinggi," tambah Jackie.
 

Advertisement

Must Watch Video