SUKAN LAIN
Isu dana: MOM sedia bantu MSBF
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, sedia membantu Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia (MSBF) mendapatkan dana bagi menggerakkan program latihan dengan jumlah maksimum RM30,000.
MSBF boleh memohon dana daripada MOM untuk menggerakan program latihan menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.
Ia selepas persatuan itu tidak mendapat peruntukan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana tidak diletakkan sebagai sandaran untuk meraih pingat dalam kejohanan antarabangsa.
Iklan
Bagaimanapun, MOM memiliki dana terhad untuk membantu persatuan sukan kebangsaan.
"Peruntukan itu sepatutnya datang daripada pihak MSN.
"Namun, disebabkan MSN juga mungkin mengalami kegawatan daripada segi kewangan, mereka mungkin boleh datang untuk berjumpa dengan MOM.
"Tetapi MOM juga terhad daripada segi bantuan.
"Kami semamngnya memiliki tabung amanah, namun jumlah maksimum yang kami boleh beri adalah RM30,000 sahaja.
"Jumlah itu pun saya tidak tahu sama ada ia cukup untuk persatuan itu menyediakan atlet mereka dan menyertai kontinjen negara ke Sukan SEA," katanya.
Sabtu lalu, pemain snuker negara, Moh Keen Hoo, dilaporkan merancang untuk berhijrah ke China dalam masa terdekat selepas tidak mendapat elaun latihan sejak 2017.
Pemenang pingat emas Sukan SEA dan Kejohanan Berpasukan Dunia pada 2015 itu akan menyertai kejohanan di Negara Tembok Besar berkenaan yang menawarkan hadiah lumayan setiap minggu.
Situasi itu bermakna Keen Hoo akan terlepas Sukan SEA Filipina.
Must-Watch Video