Skip to main content

Permotoran

Isle Of Man TT, perlumbaan paling gila dan paling berani

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

isle-of-man-t-(1).jpg
Sejak penganjuranya bermula lebih 100 tahun yang lalu, Isle Of Man TT sebenarnya telah meragut lebih 270 nyawa pelumba yang berentap di laluan yang memakan jarak kira-kira 60 kilometer itu.

Laluan perlumbaan ini amatlah sukar dipercayai iaitu hanya menggunakan jalan raya harian biasa yang bersaiz kecil dan sempit selain permukaan yang tidak rata.

Ia tentunya sama sekali berbeza berbanding perlumbaan motosikal elit yang lain seperti MotoGP mahupun Kejuaraan Dunia Superbike yang lebih selamat.

Laluan tersebut meliputi beberapa pekan kecil dan perkampungan di pendalaman daerah itu yang turut meliputi kawasan pergunungan.

Kemalangan membabitkan pelumba dari Sepanyol, Santiago Herrero yang terjatuh di selekoh cukup terkenal iaitu Westwood adalah antara tragedi paling diingati dan yang sukar dilupakan.

Tahun 2016 sahaja tiga pelumba maut ketika beraksi dalam perlumbaan tersebut, satu angka yang agak mengerikan jika dilihat risiko yang terlalu tinggi untuk diambil oleh setiap pelumba jika mahu beraksi dalam perlumbaan ini.

Namun boleh dikatakan rata-rata pelumba mengakui adrenalin yang mampu dikuasakan menerusi perlumbaan IOMTT ini sangat-sangat mengujakan dan tidak akan sesekali mampu didapati menerusi siri perlumbaan yang wujud di muka bumi ketika ini.

IOMTT diadakan pada setiap tahun iaitu pada penghujung Mei hingga awal Jun tanpa gagal setakat ini.

Walaupun ramai yang sudah tewas, ia masih dan sentiasa mendapat sambutan bahkan jumlah pelumba yang mendaftarkan diri untuk menyertainya sentiasa meningkat saban tahun.

Joey Dunlop, John Mcguinness, Michael Dunlop dan Guy Martin adalah sebahagian nama besar yang dianggap lagenda sepanjang zaman bila bercakap mengenai IOMTT.

Namun Joey Dunlop setakat ini merupakan pelumba yang paling berjaya dalam sejarah IOMTT dengan merekodkan kejuaraan sebanyak 26 kali.

Jika anda berpeluang, saksikanlah dengan mata kepala anda sendiri perlumbaan yang cukup gila ini dan patinya dijamin anda tidak akan melupakanya sepanjang hayat anda!

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video