Skip to main content

Hoki

Import India, Kazakhstan perkuat TLHT

img_2167.jpg
Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) memperkemaskan barisan pemainnya untuk Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) dengan kemasukan lima pemain import.

Tiga daripada mereka adalah tonggak India, Jaspreet Kaur, Manmeet Kaur, Jaswinder Kaur serta pemain Kazakhstan, Vera Bepa dan penjaga gol, Guzal Bakhavaddin.

Menurut jurulatih TLHT, Iman Gobinathan, kelibat Jaswinder dan Vera di posisi serangan semestinya ditagih selain pengalaman Guzal bagi memastikan pasukan itu digeruni.

"Kehadiran mereka sudah tentu sangat penting kepada kami, terutama dalam situasi pukulan sudut penalti.

"Jaspreet pula seorang pertahanan kental selain turut diperkuatkan penjaga gol kebangsaan Kazakhstan," jelas bekas penolong jurulatih skuad wanita negara itu.

Iman begitupun berkata tiga pemain India itu hanya akan tiba pada hari perlawanan pertama bertemu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) esok kerana masalah visa.

Mengulas lanjut sasaran TLHT musim ini, beliau berkata ia adalah memperbaiki kedudukan ketiga selain memberi saingan dalam cabaran Piala Vivian May Soars.

"Semua pemain dah sedia, kami pun ada beberapa pemain Malaysia.

"Tonggak import India pula pemain yang bagus. Jadi, mereka boleh cepat 'tangkap' rentak kami," ujar Iman.

Advertisement

Must Watch Video