Skip to main content

Sukan SEA

Hoki: Skuad wanita pertahan emas

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

28817hokimalaysia.jpg
Skuad hoki padang wanita mempertahankan pingat emas yang dimenangi sejak 1997 selepas menewaskan musuh ketat, Thailand, 2-0 dalam final Sukan SEA di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Kedua-dua pasukan kebuntuan gol pada separuh masa pertama, bagaimanapun, skuad Malaysian Tigress bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menyusun serangan lebih kemas pada babak kedua. 

Hanis Nadiah Onn akhirnya memecah tembok pertahanan Thailand menerusi gol padang pada minit ke-46 untuk meletakkan skuad negara di depan.

Selang seminit, Malaysia menambah jaringan hasil daripada pukulan sudut penalti Nuraini Rashid untuk melengkapkan kemenangan dan menambah koleksi emas Malaysia demi merealisasikan sasaran 111 emas setelah terdahulu mengesahkan kedudukan juara keseluruhan temasya KL2017 ini.

Untuk rekod, Malaysia dan Thailand sekurang-kurangnya sudah tiga kali bertemu dalam final Sukan SEA, bermula edisi Korat 2007, Naypyidaw 2013 dan Singapura 2015.

Namun, skuad Gajah Perang itu masih gagal memperbaharui pencapaian pingat peraknya, sekaligus memastikan status juara kekal milik Malaysia.

"Saya rasa mana-mana jurulatih  pun akan puas hati bila menang pingat emas," kata jurulatih, Dhaarma, yang menambah: "Kita jaringkan 32 gol dan tidak bolos sebarang gol. Itu boleh dikira satu rekod yang baik juga."

Dhaarma sebelum itu kelihatan cemas sepanjang separuh masa pertama apabila Thailand bertahan dengan padu untuk menafikan Malaysia daripada membuat sebarang jaringan. Hanya pada separuh masa kedua, kedudukan itu berubah.

Mengulas kedudukan itu, jurulatih itu berkata: "Dalam final hari ini, kita sukar mendapat gol tapi pemain akhirnya dapat menembusi pertahanan lawan.

"Harap-harap kemenangan ini akan membuat pasukan kita lebih bagus untuk menghadapi Piala Asia nanti."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Gambar: Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC)

Advertisement

Must Watch Video