SUKAN LAIN
Hafifi mahu buktikan sesuatu di Gold Coast
Jaguh angkat berat negara, Hafifi Mansor, mahu membuktikan penggugurannya daripada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 adalah keputusan silap apabila dia bakal menyertai Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel di Gold coast, Australia, bermula Ahad ini.
Bekas juara Sukan Komanwel 2014 itu berada di tahap terbaik dan dijangka tiada masalah berada dalam kelompok 15 terbaik untuk layak ke Gold Coast.
Malah, dia mempunyai misi peribadi untuk dibuktikan kepada rakyat Malaysia.
Iklan
"Saya mahu membuktikan sesuatu kepada pihak yang menggugurkan saya (daripada Sukan SEA).
"Saya mahu pergi ke Gold Coast dengan misi mengatasi pencapaian angkatan pemenang emas Sukan SEA (atlet Indonesia, Deni) yang melakukan angkatan keseluruhan sebanyak 312 kg, hasil daripada angkatan 142kg dalam snatch dan 170kg dalam clean and jerk.
"Bagi saya, angkatan itu sedikit sahaja dan saya mahu membuktikannya di Gold Coast nanti," katanya.
Atlet Indonesia, Deni, meraih emas dalam kategori 69kg dengan jumlah angkatan 312kg, kurang 4kg berbanding rekod kebangsaan milik atlet kelahiran Terengganu itu yang dilakukannya dalam Sukan Olimpik Rio 2016.
Di Australia nanti, Malaysia akan diwakili lapan atlet yang terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita.
Apa yang menarik, seorang daripada atlet berkenaan sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri sebanyak RM8,000 untuk mencapai impian membuat penampilan terakhirnya dalam Sukan Komanwel.
"Saya sanggup mengeluarkan duit sendiri demi penampilan terakhir saya dalam Sukan Komanwel," kata atlet angkat berat wanita kategori 53kg, Sharifah Inani Najwa Syed Anuar.
Must-Watch Video