Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Tenis

Grand Slam: Peraturan baru vaksin Kerajaan Perancis sekat Djokovic pertahan gelaran

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

djokovic.png
Novak Djokovic mungkin terlepas untuk mempertahankan satu lagi gelaran Grand Slam berikutan tindakan Kerajaan Perancis meluluskan undang-undang vaksinasi baru yang mungkin mengancam kedudukannya untuk bersaing di Roland Garros.

Pemain berusia 34 tahun itu tidak akan mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia selepas polemik mengenai status vaksinasinya memuncak yang menyaksikan visanya dibatalkan buat kali kedua selepas campur tangan daripada Menteri Imigresen Australia, Alex Hawke.

Tetapi kontroversi yang menyelubungi juara 20 Grand Slam itu mungkin berterusan dengan parlimen Perancis meluluskan undang-undang vaksinasi yang ketat menjelang Terbuka Perancis, Mei depan.

Selepas penggubal undang-undang Perancis meluluskan langkah baru itu, bukti status vaksinasi tidak lama lagi akan diwajibkan untuk memasuki pelbagai tempat awam termasuk stadium sukan, dan kementerian sukan negara itu berkata tidak akan ada pengecualian buat atlet profesional.





"Peraturannya mudah. ​​Pas vaksin akan diperkenalkan, sebaik sahaja undang-undang ini diisytiharkan, dan ia telah pun tertakluk kepada pas kesihatan," kata kementerian itu.

“Ini akan terpakai ke atas semua orang -- baik penonton atau ahli sukan profesional, dan hingga diberitahu kelak.

"Ketika ini, setakat ini Roland Garros akan dilangsungkan Mei depan. Keadaan mungkin berubah di antara sekarang dan kemudian hari, kami berharap ia akan menjadi lebih baik.

"Jadi, kita akan lihat tetapi jelas sekali tiada pengecualian."

Djokovic, yang terikat dengan Rafael Nadal dan Roger Federer untuk koleksi Grand Slam terbanyak, telah menerima kritikan meluas mengenai keengganannya untuk mendapatkan vaksin COVID-19 selain kemunculannya dalam khalayak ramai selepas itu.

Malah, dia diuji positif dijangkiti pandemik berkenaan bulan lalu. 

Sementara itu, Djokovic telah tiba kembali ke negara asalnya, Serbia, melalui Dubai dari Melbourne menuju ke Belgrade selepas gagal dalam rayuan mahkamah terakhir untuk kekal di negara penganjur tersebut.

Advertisement

Must Watch Video