SUKAN SEA
Golf: Natasha cetus harapan pingat
Pemain golf negara, Natasha Oon, memulakan rentak cemerlang dalam aksi pertama Sukan SEA Filipina dan menjadi harapan buat Malaysia menamatkan kemarau 18 tahun pingat emas.
Natasha menamatkan pusingan pertama dalam acara individu wanita itu, hari ini, dengan menyamai par 72 untuk berada di kedudukan ketiga di belakang wakil Thailand dan tuan rumah, Filipina.
Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu belum berpuas hati dengan prestasinya yang hanya merakam satu birdie di lubang kesembilan selain bertekad memburu kedudukan lebih baik dalam pusingan kedua esok.
Iklan
"Momentum permainan saya ada fasa turun dan naik.
"Adakalanya beberapa perkara baik berlaku tetapi kemudian bola masuk ke dalam air.
"Tetapi saya berpesan kepada diri sendiri bahawa ia sudah pun berlaku dan tiada apa yang saya boleh ubah, jadi saya cuba terus berikan aksi terbaik," kata Natasha.
Sementara itu, pemain lelaki negara, Rhaasrikanesh Kanavathi, yang menamatkan pusingan pertama di kedudukan kelapan dengan catatan dua di bawah par 70, berhasrat mengekalkan momentum dalam aksi seterusnya.
"Ini kali pertama saya menyertai Sukan SEA dan dalam edisi lalu, saya turut menemani pasukan kebangsaan bagi memberi sokongan dan galakan kepada mereka.
"Jadi kali ini menjadi lebih manis lagi kerana saya bukan setakat memberi sokongan, malah turut terbabit dalam temasya," katanya.
Must-Watch Video