Skip to main content

Sukan Lain

Golf Terbuka Malaysia: Pencapaian terbaik karier Trevor

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

golf-maybank.jpg
Pemain golf warga Amerika Syarikat (AS), Trevor Simsby, mencatat kejayaan terbesarnya dalam kariernya selepas memenangi Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Kali Ke-55 di Kota Permai Golf & Country Club, Shah Alam, hari ini.

Pemain berusia 27 tahun itu melakukan ‘birdie’ dalam kedua-dua permainan play-off --lubang ke-18 -- untuk menang dengan mengatasi pendahulu semalam Andrew, yang gagal melakukan birdie dalam play-off kedua, selepas mereka berdua terikat dengan birdie dalam play-off pertama.

Seorang lagi pemain dari AS, Jarin Todd, berkongsi tempat kedua bersama Andrew selepas gagal melakukan birdie dan terkeluar daripada play-off pertama.

Selepas pusingan ketiga kejohanan yang menawarkan wang tunai US$1 juta (kira-kira RM4.16 juta) itu dihentikan semalam akibat cuaca buruk, permainan dimulakan semula pagi ini untuk Trevor melakukan tiga birdie dan satu bogey untuk catatan dua bawah par 70 dan terikat 13 di bawah par 203 di samping Andrew dan Jarin.

Andrew, yang memiliki reputasi selaku juara Kejohanan Sarawak 2019 mendahului sejak Khamis, bermula baik apabila melakukan birdie dalam dua lubang pertama, namun gagal mengekalkannya dengan melakukan dua bogey dan satu doble bogey untuk menamatkan saingan dengan par 72.



Trevor yang kini berpusat di Kuala Lumpur, membawa pulang US$180,000 (kira-kira RM750,960) dan trofi kemenangan disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selepas memenangi kejohanan pertamanya tahun ini, Trevor mahu terus kekal kompetitif sepanjang tahun ini dan meningkatkan lagi prestasinya kerana akan menyertai satu lagi Jelajah Asia, iaitu Kejohanan Terbuka India dari 19-22 Mac.

“Ia satu minggu yang mencabar tetapi agak sukar untuk bermain hari ini. Saya terpaksa bermain dengan agresif di lubang ke-18 (play-off) bagi mendapatkan peluang terbaik melakukan birdie dan tahu saya boleh lakukan yang terbaik.

“Saya menjadi profesional pada 2014 dan telah melakukan pelbagai perkara sejak lima tahun lalu termasuk bekerja di padang golf. Saya berasa baik untuk berpangkalan di sini, cuma agak jauh dari kampung halaman.

“Dengan keluar daripada zon selesa saya untuk bermain dalam Jelajah Asia, ia banyak membantu dan membuatkan saya berikan lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian hadiah.



Kejayaan terbaiknya sebelum ini ialah menduduki tempat kedua dalam Kejohanan Pemain Combiphar, satu kejohanan Jelajah Pembangunan Asia pada September tahun lalu.

Andrew dan Jarin masing-masing membawa pulang US$86,500 (kira-kira RM360,000)

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video