Cuaca yang tidak menentu di Kelab Golf Seri Selangor memberikan cabaran besar buat Lee Chuc An, yang beraksi di bawah kemampuan sebenar dengan mencatatkan 73 pukulan, 1 di atas par dalam Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor hari ini.

Walaupun kekal mendahului, jika aksi tidak berubah pada hari terakhir esok, Chuc An berisiko dipintas oleh seteru lain.

Tiupan angin kencang dan perubahan cuaca sepanjang tujuh jam saingan, ditambah dengan kedudukan padang yang terletak di lereng bukit, menyukarkan Chuc An mengawal arah bola pukulannya.

“Saya rasa perkara terbaik yang saya dapat apabila bermain di sini adalah merancang permainan dengan teliti.

“Bermain di padang golf ini, saya perlu mempunyai perancangan yang jelas, saya perlu tahu di mana saya harus meletakkan bola, bergantung kepada kedudukan pin.

“Ini kerana jika saya meletakkan bola di tempat yang salah, ia akan menjadi sangat sukar untuk memperoleh pukulan.

“Semalam dan hari ini, angin tidak begitu kuat tetapi saya rasa apabila hujan hampir turun, kadang-kala angin boleh menjadi sangat kuat dan saya terpaksa menambah kira-kira 10-15 ela.

“Namun, angin tidak sentiasa kuat, ia datang sekejap-sekejap, jadi tidak memberi kesan yang besar kerana angin itu tidak berterusan.

“Adakala saya memilih untuk menunggu angin berhenti sebelum meneruskan permainan,” katanya.

Sementara itu, pemain wanita terbaik negara, Nur Diana Syafiqah Abdullah, berjaya menempatkan diri dalam kelompok 14 terbaik.