Hari pertama Jelajah Golf Toyota 2024 menyaksikan olimpian negara, Gavin Kyle Green, yang kembali beraksi di laman sendiri selepas lama berkelana di luar negara tampil dengan prestasi kurang memberangsangkan di Kota Permai Golf and Country Club, hari ini.
Gavin yang ingin menikmati sahaja jelajah bertaraf Asian Development Tour (ADT) ini terkejut dengan prestasi hari pertamanya yang tidak berapa baik selepas mengakhiri pusingan pertama dengan keputusan dua di atas par.
Walaupun melakukan birdie di lubang pertama sementara eagle di lubang ketujuh, Gavin terpaksa akur dengan dua bogey di lubang kelima dan keenam sebelum membuat triple bogey di lubang sembilan hingga menyaksikan kayu golfnya menjadi mangsa kekecewaannya.
Hari pertama berakhir dengan Ben Jones dari England mengungguli carta selepas melakukan enam di bawah par dengan 66 pukulan disusuli pemain golf negara, Daeng Abdul Rahman, bersama tiga lagi pemain berkongsi kedudukan kedua selepas mencatat lima di bawah par.
"Buat masa ini saya tidak menikmati permainan di sini kerana tahu kemampuan sebenar sendiri.
"Saya memang kecewa dan ia sebahagian daripada permainan jadi saya perlu bangkit esok.
"Saya melakukan beberapa pukulan dan dengan satu pukulan buruk sahaja, ia boleh menyukarkan anda," katanya di Nadi Arena.
Shaiful Shamsudin
Wed Nov 20 2024