Penerjun muda negara, Gabriel Gilbert Daim, meminta ketua jurulatih, Yang Zhuliang, mempertimbangkan peluang barisan pelapis menyertai Siri Keenam, Grand Prix Dunia di Kuala Lumpur bulan depan selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lalu.
Penerjun muda negara berjaya mencipta impak ketika Malaysia menyapu bersih kesemua 13 pingat emas yang dipertandingkan.
Beberapa nama baru, antarnaya Gabriel, Jellson Jabilin dan Hanis Nazirul Jaya Surya mencatat nama sebagai penyumbang emas walaupun tumpuan lebih terarah kepada penerjun bintang seperti Cheong Jun Hoong, Pandelela Rinong, Ooi Tze Liang dan Ahmad Amsyar Azman.
Mereka berpeluang mengukuhkan reputasi dalam siri keenam GP Dunia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil jika diberi peluang menggalas cabaran negara.
"Saya harap jurulatih akan beri peluang besar untuk saya menyertai kejohanan itu. GP Dunia melibatkan lebih banyak negara dibandingkan dengan Sukan SEA.
"Memang cabaran itu lebih sukar, tidak mudah untuk menang," ujar Gabriel.
Hanis turut mengintai peluang beraksi di Kuala Lumpur dan berazam akan melakukan yang terbaik seandainya Zhuliang melunaskan harapannya itu.
"Insya-Allah, saya berharap kami akan beraksi dalam GP Dunia. Saya mengharapkan jurulatih akan memberikan peluang itu. Kami akan buat yang terbaik untuk jurulatih dan keluarga," kata Hanis.
Skuad negara hanya menjalani sesi latihan ringan di Majlis Sukan Negara (MSN) sambil dipantau jurulatih pelapis, Huang Qiang.
Zhuliang dan penolongnya, Zhang Yukun, pulang ke China atas urusan peribadi sebelum senarai nama penerjun ke GP Dunia diumumkan dua minggu lagi.