PERMOTORAN
FIM MiniGP Malaysia 2025: Musim Baharu, Cabaran Baharu
FIM MiniGP Malaysia kembali untuk musim 2025, membuka tirai dengan perlumbaan pertama di RUD Karting Sepang. Musim ini turut memperkenalkan satu litar baharu, LYL International Karting Circuit, yang terletak di Sungai Long, Selangor.
Bagi musim 2025, perlumbaan akan tertumpu di Selangor disebabkan kekangan tarikh dan kos kewangan yang tinggi. Perbelanjaan logistik untuk lokasi di luar Selangor, seperti Langkawi dan Perlis, melebihi bajet yang telah ditetapkan, menyebabkan acara diadakan secara lebih strategik.
Musim ini menyaksikan pengesahan 15 pelumba Malaysia dalam kategori FIM MiniGP 160, 10 pelumba dalam FIM MiniGP 190, serta 15 pelumba dalam SIC Ohvale Junior Championship. Walaupun senarai pelumba antarabangsa masih belum dimuktamadkan, Juara FIM MiniGP 160, Nguyen Viet Tuan, telah mengesahkan penyertaannya dalam kategori FIM MiniGP 190 tahun ini.
Iklan
Keunikan musim 2025 terletak pada persaingan sengit dalam kategori FIM MiniGP 190. Juara FIM MiniGP 190 musim 2024, Qabil Irfan, akan bertarung dengan Juara FIM MiniGP 160 2024, Nguyen Viet Tuan, serta pemenang tempat ketiga FIM MiniGP 160, Airel Marzuki dan Qayyim Razzin. Selain itu, pelumba Asia Talent Cup negara, Sharf Muhriz dan Adam Danial, juga akan turut bersaing dalam kategori perdana ini, menjanjikan aksi yang mendebarkan untuk semua peminat sukan permotoran.
Must-Watch Video