SEPAK TAKRAW
Farhan Adam: Sepak takraw wajar dalam geran pembangunan sukan
Kenapa tidak sepak takraw dalam geran pembangunan sukan?
Lontaran itu di terjemahkan kapten takraw negara, Farhan Adam, yang tanpa berselindung menyatakan keperluan sukan ini mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak.
Prestasi pasukan kebangsaan sudah dibuktikan dalam saingan Piala Dunia dengan perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberikan insentif khas dianggap reaksi tepat.
Iklan
Selepas Menteri Belia dan Sukan negara, Hannah Yeoh, memberi bayangan bakal ada rombakan membabitkan geran program pembangunan, Farhan berasakan takraw antara sukan yang wajar diberi pertimbangan.
Andai sokongan semua pihak terarah kepada takraw, sudah pasti keadaan semasa mampu mengubah landskap sukan ini yang kembali meriah sambil kelompok penyokong tidak kurang hebatnya.
"Sepak takraw sentiasa menyumbangkan pingat untuk negara. Sukan ini cuma tinggal nak tukarkan warna pingat sahaja.
"Langkah ini boleh naikkan sepak takraw supaya skuad negara sentiasa berada di atas.
"Saya harap pihak kementerian lebih pandang kami sebab sukan ini memerlukan sokongan seumpamanya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Ketika ini geran program pembangunan di pegang empat sukan iaitu bola sepak, ragbi, bola jaring dan hoki.
Dengan prestasi semasa di pentas Piala Dunia, kini ramai pemain sudah membuka mata bahawa sukan ini bukan sekadar berkualiti di pentas Asia semata-mata, malah saingan Piala Dunia dilihat sebagai setaraf Sukan Olimpik.
Namun, ketekalan penganjuran Piala Dunia perlu seiring dengan menjadikan kejohanan ini sebagai acara wajib mengikut skala waktu yang perlu ditetapkan pihak terlibat.
Farhan yakin Persatuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) sedang merangka langkah drastik untuk sukan takraw ke arah lebih baik.
"Mungkin daripada segi ganjaran, kebajikan dan insentif ia boleh dipertingkatkan.
"Oleh kerana ibarat Piala Dunia setaraf dengan Sukan Olimpik, jadi pemain-pemain tidak lagi hanya berkisarkan peringkat Asia, sebaliknya sekarang kami mempunyai sasaran di pentas dunia pula," katanya.
Must-Watch Video