Skip to main content

Sukan Lain

Faizol gesa semua pihak gembleng tenaga atas masalah denggi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

020217-denggi.jpg
Jurulatih lontar peluru Paralimpik negara, Faizol Harun, menggesa agar masalah denggi yang melanda kawasan Majlis Sukan Negara (MSN) diberi perhatian serius semua pihak.

Situasi di kawasan MSN ketika ini dilabel sebagai kritikal kerana beberapa kes denggi berlaku hingga turut menyebabkan kematian seorang kakitangan MSN baru baru ini.

MSN, sebagai pusat utama atlet negara menjalani latihan harian, kini dianggap tidak selamat dan mampu mengganggu kelancaran persediaan atlet, terutama untuk Sukan SEA 2017.

Faizol menggesa supaya situasi genting ini diatasi segera dan perlu mendapat perhatian serius semua pihak.

"Saya minta isu ini dipandang serius oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan setakat Majlis Sukan Negara (MSN) sahaja. 

"Wabak denggi perlu dibanteras habis-habisan dan semua pihak perlu bergabung tenaga," ujarnya. 

Tegas Faizol, perancangan latihan untuk anak didiknya, Ziyad Zolkifli, turut terganggu selepas dia dimasukkan ke hospital semalam kerana positif denggi.

Selain Ziyad , dua kakitangan MSN dan atlet negara, antaranya Muhd Arfy Qhairant Amran, turut berada di wad yang sama.

"Memang sangat terjejas. Mujur pembantu saya di MSN dapat bantu saya memantau atlet.

"Sekarang, memang saya tak fikir (soal latihan) sebab penat."

Advertisement

Must Watch Video