Skip to main content

Sukan

European Massage Championship: Sentuhan Magis Malaysia Gegar Paris!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

team-malaysia.jpg
Sebanyak 16 tukang urut profesional dari Malaysia akan menggalas satu misi besar mewakili negara ke European Massage Championship 2025 di Paris pada 20 Mei 2025 sehingga 28 Mei 2025.

Ini bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi satu manifestasi bakat, kecekalan, dan jati diri dalam bidang urutan yang semakin mendapat tempat di persada dunia. Apa yang menjadikan penyertaan ini luar biasa adalah kerana mereka bukan hanya bertanding atas nama individu, tetapi membawa bersama budaya dan warisan Malaysia dalam setiap sentuhan dan teknik urutan yang ditampilkan.

ari urutan Melayu tradisional, teknik warisan nusantara hingga sentuhan kontemporari, keunikan teknik luar biasa Malaysia diterjemah melalui urutan. Setiap seorang daripada 16 peserta ini membawa kisah perjuangan tersendiri.

Ada yang bermula dari kampung kecil, ada yang menjadikan urutan sebagai jalan keluar untuk bantu keluarga, ada juga yang pernah hampir menyerah kalah, jatuh terduduk, gagal berniaga dalam dunia urutan. Namun kini, mereka berdiri gagah, sebaris sebagai wakil negara dan bersaing dengan jaguh dunia.

Dengan semangat kental, mereka telah mengharungi pelbagai rintangan, dari kekangan kewangan, kekurangan pendedahan, hinggalah latihan tanpa henti yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Bagi mereka, ini bukan sekadar pertandingan, ini satu perjuangan hidup untuk menaikkan martabat terapi urut sebagai satu seni yang diiktiraf dan menunjukan daya saing yang tinggi di peringkat global.

Di pentas Paris nanti, bukan hanya kemahiran mereka yang bakal diuji, tetapi juga maruah budaya dan identiti Malaysia. Ketika tangan mereka menyentuh kulit pelanggan atau juri, mereka menyampaikan sebuah cerita, tersurat mahupun tersirat tentang tanah air yang kaya dengan kehalusan budaya dan nilai penyembuhan tradisional.

Tapak tangan itu menjadi saksi perjuangan tulang empat kerat. “16 orang, 16 cerita, 16 sentuhan”, inilah tema tidak rasmi yang mereka pegang erat. Meskipun datang dari latar belakang berbeza, mereka berkongsi satu Impian iaitu mengangkat nama Malaysia di bumi Eropah. Tiada istilah berundur, walaupun ombak dugaan terus menghentam pantai perjuangan mereka.

Semangat perjuangan yang mereka bawa adalah impak sentuhan magis kepada kejayaan Negara. Sokongan rakyat Malaysia sangat penting dalam detik bersejarah ini. Setiap sorakan, setiap doa, dan setiap kata semangat adalah bahan bakar yang menguatkan jiwa mereka untuk terus berjuang di tanah asing. Mereka bukan hanya sekadar tukang urut, mereka adalah duta budaya, duta semangat perjuangan harmoni dan duta negara Malaysia. Sentuhan mereka terbukti di peringkat Malaysia.

Maka, apabila mereka melangkah ke pentas pertandingan di Paris kelak, mereka tidak melangkah seorang diri. Mereka membawa harapan satu negara, semangat satu bangsa, dan keunikan satu budaya.

Dengan tekad yang tidak tergugat, mereka akan membuktikan bahawa tukang urut Malaysia bukan kaleng kaleng malahan mereka luar biasa. Urutan Malaysia, Maruah Negara, 16 Wira Sentuhan Magis Malaysia berjuang ke Paris!
 

Advertisement

Must Watch Video