PERMOTORAN

ESBK Talent Cup: Qabil Irfan 'Anak Ganu' tepati janji kumandang lagu Negaraku di bumi Sepanyol

Stadium Astro
Zaki Zainal
06/04/2025
12:20 MYT
Sponsor Banner
ESBK Talent Cup: Qabil Irfan 'Anak Ganu' tepati janji kumandang lagu Negaraku di bumi Sepanyol
Pelumba muda negara, Qabil Irfan, berjaya mengotakan janjinya untuk mengulangi kejayaan dalam perlumbaan pertama Kejuaraan ESBK apabila sekali lagi mengatasi pencabar utamanya dari Sepanyol, Izan Rodriguez, untuk muncul juara dalam perlumbaan kedua di Litar Jerez. Kejayaan ini memperlihatkan dominasi Qabil dalam perlumbaan berprestij tersebut.
Namun, perjalanan Qabil untuk meraih kemenangan kali ini tidak mudah. Beliau terpaksa berhadapan dengan cabaran besar dalam mengendalikan jentera, sambil terlibat dalam aksi kejar-mengejar yang sengit bersama Rodriguez yang menempatkan dirinya di tangga kedua podium.
Walaupun menghadapi pelbagai tekanan, Qabil berjaya mengekalkan fokus dan memperagakan kemahiran menunggang yang luar biasa. Pada lap terakhir perlumbaan, Qabil memecut dengan penuh semangat dan berjaya memintas Rodriguez, memastikan beliau melengkapkan 14 pusingan di Litar Jerez dengan kemenangan yang amat bermakna.
“Pada perlumbaan tadi saya tahu dia adalah pencabar terdekat saya, saingan sangat sengit padan pada lap terakhir saya cuba untuk duduk di hadapan dan kalua saya duduk belakang tidak sempat untuk saya potong. Jadi alhamdulillah saya dapat tempat pertama hari ini,” luah Qabil dengan penuh kegembiraan pada Ahad.
Kejayaan ini menegaskan lagi kemampuan Qabil untuk bersaing di tahap tertinggi dalam arena perlumbaan motosikal. Pengurus Pasukan S-I-C Racing, Zul Fahmi Khairuddin, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai permulaan yang positif bagi Qabil. Beliau juga percaya bahawa Qabil akan terus memperkukuh dominasi dalam perlumbaan seterusnya di Litar Catalunya, Sepanyol pada bulan Mei.
“Pada awalnya memang kita letakkan sasaran yang tinggi untuk Qabil tetapi kita tidak tahu tahap sebenar lawan kita di sini sebab ini adalah kategori terbaru. Jadi saya nak ucapkan tahniah kepada Qabil dan keluarga dia serta semua ahli pasukan saya.
Kejayaan ini memberikan keyakinan untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa. Sebelum ini, Qabil juga telah mencatatkan kejayaan cemerlang dalam perlumbaan pertama selepas meraih kemenangan sulungnya dengan masa 26 minit 22.85 saat.
Dalam perlumbaan itu, beliau berjaya meninggalkan Rodriguez dengan jurang pemisah 0.45 saat, menunjukkan kehebatan dan ketangkasan Qabil di atas litar. Dengan kejayaan ini, Qabil membuktikan bahawa dia adalah pelumba muda yang berbakat dan mempunyai potensi besar untuk terus mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.
Kini, semua mata tertumpu kepada perlumbaan seterusnya di Litar Catalunya, untuk melihat sama ada Qabil dapat mengekalkan prestasi cemerlangnya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video