ANGKAT BERAT
Emas Pra-Sukan Sea cerahkan peluang Mubin ke Sukan Komanwel
Walaupun hanya diwakili tiga atlet, skuad angkat berat Terengganu tidak pulang tangan kosong selepas ketiga-tiga mereka menyinar dalam Kejohanan Pra-Sukan SEA di Putrajaya, kelmarin.
Ab Mubin Rahim paling mencuri tumpuan setelah meraih pingat emas acara 77kg dengan angkatan keseluruhan snatch dan clean & jerk 310kg.
Acara 69kg turut memberikan pingat emas kepada Terengganu menerusi Muhammad Darul Najmi Dollah yang melakukan angkatan 261kg.
Iklan
Seorang lagi wakil dalam acara 62kg, Muhammad Saiful Irfan Ab Rahim, terpaksa berpuas hati dengan angkatan keseluruhan 236kg untuk pingat perak.
Sebanyak 13 kontinjen menyertai kejohanan anjuran Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bertujuan mencari atlet berkelayakan untuk diserap ke program Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.
Sementara itu, Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT) bersetuju menghantar Abd Mubin ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Komanwel dari 5 hingga 9 September ini.
Menurut Presiden PBBABT, Mohd Shafaruddin Mustaffa, pusingan kelayakan itu sangat penting bagi memastikan bekas Olahragawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2012 itu layak ke temasya sebenar, tahun depan.
Ujarnya, penyertaan Ab Mubin ke Sukan Komanwel 2018 perlu disahkan dengan kejayaan pingat emas kejohanan Pra Sukan SEA membuktikan kejaguhannya sebagai antara yang terbaik ketika ini.
Malah, atlet itu juga tidak akan menyertai Sukan SEA akan datang untuk memberi tumpuan mengubati kekecewaan Sukan Komanwel Glasgow 2014.
“PBBABT dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan membantu segala keperluannya sebagai persiapan sebelum ke Gold Coast,” kata Mohd Shafaruddin.
Must-Watch Video