Skip to main content

Sukan Lain

Dhabitah sahut cabaran di bawah jurulatih baru

dhabitah-sabri.jpg
Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, bersedia untuk berdepan perubahan yang bakal dibawa jurulatih dari China, Li Rui, yang hampir pasti dilantik oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dalam masa terdekat ini.

Dhabitah tidak terlalu mengenali pengendali kelahiran China itu yang berkemungkinan besar akan dilantik sebagai jurulatih baru negara.

Bagaimanapun, dia percaya Li Rui akan membawa perubahan kepada skuad negara, khususnya dalam corak latihan yang pasti berbeza daripada bekas jurulatih, Yang Zhuliang dan Zhang Yukun.

Justeru, Dhabitah berharap jurulatih baru itu dapat hadir ke Malaysia lebih awal sebelum Kejohanan Dunia di Korea Selatan, Julai depan. 

"Saya tiada masalah untuk menyahut pembaharuan yang akan diperkenalkan jurulatih baru. 

"Mungkin ia boleh disesuaikan dengan teknik yang dipelajari sebelum ini.

"Mungkin ia mampu menghasilkan persembahan yang lebih bagus. Kami perlu cuba dan kalau tidak menjadi, kami perlu cari jalan lain," katanya. 

Tambah Dhabitah: "Tetapi ia harus dipratikkan beberapa bulan sebelum Kejohanan Dunia."

Penerjun lelaki negara, Ahmad Amsyar Azman, menyifatkan perubahan jurulatih yang berlaku sejak tahun lalu memberi impak kepada skuad negara selain berharap bekas pengendali pelapis Kanada berkenaan kekal dalam tempoh jangka masa yang panjang andai dia menjadi pilihan muktamad ASUM.

"Tidak boleh dinafikan Yang Zhuliang adalah jurulatih terbaik kami setakat ini. 

"Tetapi, jurulatih baru ini pun mungkin boleh menjadi yang terbaik juga.

"Saya berasakan langkah ASUM dan Majlis Sukan Negara (MSN) adalah yang terbaik untuk kami," kata Amsyar. 

Advertisement

Must Watch Video