CUB PRIX
Cub Prix: Khairi Asyraf bijak ambil kesempatan dalam pusingan terakhir
Pelumba Jetron Yamaha YY Pang Racing, Muhammad Khairi Asyraf Mahmood, muncul yang terawal yang mencecah garisan penamat dengan catatan 11:51.548 saat kategori CP125 di Litar Jempol, hari ini.
Pada awal perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023 itu menyaksikan pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Aiman Tahiruddin, mendominasi perlumbaan dihambat Firdaus Hamdan yang mewakili Honda AFB Tech Racing dan disusuli pelumba Bad Lab Hnda KC Racing, Muhammad Irfan Haykhal Amidi.
Malangnya ketiga-tiga pelumba itu dipintas dalam pusingan terakhir ekoran terjatuh akibat bergesel tayar ketika di selekoh, sekali gus menyaksikan Khairi Asyraf memenangi perlumbaan.
Iklan
Mohammad Syafiq Ezzariq pula menamatkan saingan di tempat kedua dan Mohd Adie Putra Sukarno ketiga.
Dalam saingan CP150, pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin, bersorak gembira sebaik muncul juara.
Kasma Daniel mengekalkan momentum dan meningkatkan kelajuannya pada masa yang tepat untuk akhirnya menjuarai perlumbaan dengan catatan 14:53.692 saat untuk memaksa rakan sepasukan, Mohd Akid Aziz, terpaksa akur di tangga kedua sementara Azroy Hakeem Anuar melengkapkan podium.
"Perlumbaan tadi berlangsung dalam cuaca agak panas hingga memberi masalah kepada prestasi tayar.
"Perasaan saya agak berdebar kerana di litar teknikal ini catatannya masa adalah sengit.
"Saya sudah jangkakan saingan sengit dalam kelompok empat pelumba di hadapan," kata Kasma Daniel.
Sementara itu, Emil Idzhar Ezuan memacu jentera Yamaha Estremo 27 Racing bagi kategori Wira KBS.
Must-Watch Video