Skip to main content

Permotoran

Cub Prix: Dua pelumba sambar gelaran sulung musim ini

afif-cub-prix.jpg
Dua pelumba meraikan kemenangan sulung Kejuaraan Petronas Cub Prix 2023 dalam pusingan keenam di Teluk Intan hari ini. 

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, meluahkan kepuasannya setelah menamatkan penantian untuk memenangi perlumbaan CP150.

Afif menamatkan saingan dengan 15:45.009 saat untuk mengetepikan rakan sepasukannya, Akid Aziz, yang mencatat 15:49.276s diikuti pelumba Honda Yuzy Estremo Team, Azroy Hakeem Anuar.

Pencapaian terbaik juara bertahan itu pada musim ini adalah menduduki tempat kedua kedua dan pusingan ini menjadi pembakar semangat untuknya mempamerkan prestasi lebih tekal tatkala perlumbaan berbaki empat pusingan. 

"Setelah sekian lama tidak menaiki podium dan meraih tempat kedua dalam perlumbaan lalu, kali ini saya jadi juara.

"Perlumbaan kali ini sangat sengit daripada segi jentera. 

"Pasukan saya bekerjasama dan saling bertukar maklumat untuk sesuaikan dengan keadaan. 




"Saya tidak kisah asalkan pasukan kami menang dan ia memberikan saya semangat," katanya.

Sementara itu, kategori CP125 menyaksikan pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Adie Putra Sukarno, meraikan kemenangan sulungnya selepas mendominasi Litar Teluk Intan. 

Bermula di petak ke-16, Adie mula memintas pelumba yang berada di hadapannya untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan 12:55.144s bagi bergelar juara buat kali pertama sempena penampilan sulungnya dalam CP125 musim ini.

Adie mengungguli kategori Yamaha Petronas Super Series 2022, sekali gus menyaksikannya melangkau kategori ke CP125 musim ini tanpa perlu bertanding dalam Wira KBS.

Dalam pusingan ketiga yang lalu, pelumba paling muda itu meraih tempat ketiga di Litar Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan.


 

Advertisement

Must Watch Video