Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali hujung minggu ini dengan acara pembuka tirainya di Bandar Jasin Bestari, Melaka.

Aksi kategori CP125 akan diteruskan dengan barisan pelumba lama dan baru dalam perjuangan mereka untuk meraih gelaran juara.

Pada musim lalu, kategori ini telah menyaksikan persembahan Md Khairi Ashraf dan Md Shafiq
Ezzariq, dua pelumba pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team yang bersaing rapat untuk menyahut
gelaran juara.

Sepanjang sepuluh pusingan berkenaan, kedua-dua pelumba itu telah memaparkan
prestasi yang konsisten dan walaupun dicabar oleh pelumba-pelumba lain yang setaraf dengan
mereka, duo sepasukan ini telah membuktikan kebolehan dalam mempertahankan kedudukan di
tangga kejuaraan.

Khairi menamatkan musim tersebut sebagai juara dengan 167 mata keseluruhan manakala Shafiq meraih tempat kedua dengan 150 mata secara keseluruhan.



Khairi berkata: “Persiapan saya untuk pusingan akan datang lebih berfokus kepada persediaan
dan latihan fizikal.

"Saya banyakkan latihan kecergasan supaya badan saya lebih kuat untuk cabaran di
litar yang teknikal.

"Daripada segi persiapan jentera pula, banyak yang telah berubah seperti biasa kerana
pasukan sentiasa mencari kelebihan berbanding dengan yang lepas.

"Musim lepas, walaupun saya dapat mengekalkan kedudukan, saya sedar yang saya kekurangan latihan fizikal yang menyebabkan saya banyak buat kesilapan. Oleh itu, musim ini, saya kerapkan lagi masa berlatih supaya dapat mengatasi kesilapan tersebut."

Shafiq pula berkata: “Untuk pusingan pertama, saya sudah bersedia daripada segi mental untuk cabaran yang akan datang.

"Saya memang akan cuba sedaya-upaya untuk menjadi juara keseluruhan musim ini memandangkan musim lepas, saya hanya mendapat naib johan.

"Daripada segi fizikal, saya konsisten dalam membina stamina. Saya banyakkan masa di gym dan fokus untuk meningkatkan kecergasan fizikal saya.

"Musim ini, kami juga ada penaja baru. Oleh itu, mungkin ada sedikit keistimewaan. Musim lepas, saya banyak melakukan kesilapan, maka pada musim ini, saya perlu kurangkan kesilapan di mana boleh. Saya juga perlu lebih konsisten dengan aksi dan pencapaian saya."