PARA ASEAN 2017
Bola sepak: Kesungguhan skuad negara dapat pujian jurulatih
"Mereka tetap juara walaupun dengan pingat gangsa." Demikian luahan ketua jurulatih bola sepak lima sepasukan, M. Shalesh, terhadap anak buahnya selepas menumbangkan Vietnam 1-0 untuk meraih gangsa Sukan Para ASEAN 2017 di Pusat Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Biarpun gagal untuk ke final bagi mempertahankan gelaran, ia tidak mematahkan semangat skuad negara untuk sekurang-kurangnya menghadiahkan gangsa.
Shalesh tidak menganggap pasukannya gagal, malah tetap memuji kerja keras mereka untuk berada di tahap ini selain percaya barisan pemain akan lebih fokus untuk terus memperbaiki prestasi dengan lebih baik nanti.
Iklan
"Secara keseluruhan, saya tidak boleh merungut apa-apa. Kalau inilah yang boleh dicapai oleh pasukan negara, kita sudah tunaikan. Saya berpuas hati dengan persembahan pemain," katanya.
Ahmad Fikri Omar yang menjaringkan gol sepakan penalti menganggap pertemuan dengan Vietnam bukan mudah sebelum skuad negara dihadiahkan sepakan berkenaan pada minit ke-40.
Dia mengharapkan kilauan gangsa ini tetap mampu memberi senyuman kepada penyokong yang hadir untuk sekurang-kurangnya menebus kekecewaan gagal mempertahankan kejuaraan.
"Saya memang yakin untuk mengambil penalti. Ada kawan-kawan yang menjerit memanggil nama saya dan kapten sendiri yang suruh saya mengambilnya.
"Selepas melakukan latihan untuk mengambil penalti, saya berasa yakin," kata Fikri.
Must-Watch Video