Skip to main content

Sukan Lain

BJO: Tujuh pemain Malaysia mara ke separuh akhir

skuasy-060617.jpg
Malaysia terus mempamerkan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja British (BJO) 2019 apabila tujuh pemain mara ke separuh akhir di Birmingham dalam  kejohanan yang disertai lebih 750 pemain lelaki dan wanita dari 50 negara.

Berdasarkan bilangan peserta separuh akhir, Malaysia berada di tempat kedua di belakang kuasa besar skuasy, Mesir, yang mempunyai 20 pemain manakala tuan rumah dengan lima wakil, yang mana tiga negara ini  meraih lebih daripada tiga perempat daripada 40 tempat separuh akhir, menurut laman web rasmi kejohanan, britishjunioropen.com.

Kejutan terbesar buat Malaysia adalah apabila pemain pilihan ke-5/8, Harith Danial Jefri, mengecewakan pilihan utama, Taha Ibrahim, 11-4, 11-5, 11-6 dalam suku akhir lelaki kategori B-13 malam tadi (awal Sabtu di Malaysia).

Pemain berusia 12 tahun itu akan berhadapan pilihan ke-3/4, Yuvraj Wadhwani dari India, yang menewaskan seorang lagi pemain Mesir, Yassin Talaat, 11-9, 11-7, 11-6, malam ini.

Malaysia mempunyai peluang baik untuk mengungguli kategori B-11 bagi lelaki dan perempuan apabila pilihan utama, M. Nickhileswar, menyingkirkan Jack Elriani dari Amerika Syarikat 11-5, 11-1, 11-9 untuk bertemu Seif Eldeen Dahshan dari Mesir manakala Jayden Oon juga berjaya mengalahkan Kareem Fanous 9-11, 16-14, 11-8, 8-11, 11-7 dalam kategori lelaki.

Pilihan utama wanita B-11, Whitney Wilson, pula menewaskan Remass Ibrahim dari Mesir 11-4, 11-5, 11-2 untuk berhadapan seorang lagi pemain Mesir, Shahad Hani.

Dalam kategori B-15 lelaki, C. Ameenshanraj berjaya melangkah ke peringkat empat terakhir selepas menyingkirkan Shreyas Mehta dari India untuk bertemu Noor Zaman dari Pakistan.

Juara bertahan, Aira Azman, yang juga pilihan utama B-15 wanita perlu bekerja keras  menewaskan Haya Mohamed 8-11, 11-3, 11-6, 13-11 untuk bertemu pemain tuan rumah, Torrie Malik.

Siow Yee Xian menjadi pemain terakhir Malaysia menyertai perlawanan itu selepas mengalahkan Ondrej Vorlícek dari Republik Czech 11-9, 11-2, 11-1 dan bakal bertemu pemain England, Nick Wall dalam kategori B-19 lelaki.

Bagaimanapun, Malaysia gagal mempertahankan kategori B-19 wanita yang dimenangi S. Sivasangari tahun lalu apabila kesemua tiga pemain negara tersingkir dalam suku akhir.

Juara B-17 wanita tahun lalu, Aifa Azman, kalah kepada pilihan utama, Hania El Hammamy dari Mesir 11-6, 12-14, 11-8, 3-11, 6-11; Ooi Kah Yan tewas 4-11, 11-8, 6-11, 5-11 kepada pemain tuan rumah, Elise Lazarus, manakala Chan Yiwen tersungkur kepada pemain Mesir, Farida Mohamed, 9-11, 3-11, 13-11, 11-8, 4-11. 

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video