Pemburuan pingat emas kontinjen negara dalam temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya Malang 2024 terus menyala apabila atlet mengekalkan momentum membarakan misi 35 pingat utama tersebut pada Khamis.

Pusat Konvensyen Airlangga, Universitas Airlangga venue pertama membutirkan pingat emas pertama negara pada Rabu sekali lagi kekal menjadi lubuk kontinjen negara menuai medal tersebut,

Afiq Danish Zapri dan Amer Daniel Abdul Majeed meneruskan rentak cemerlang kem judo apabila menghadirkan dua emas lagi dari pentas perlawanan akhir pada Khamis.

Afiq Danish yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 pada Rabu menghadiahkan emas selepas mengungguli kategori Bawah 90 kilogram (kg) lelaki manakala Amer Daniel meneruskan momentum Afiq dengan menjuarai kategori Bawah 81kg lelaki.

“Ini merupakan hadiah paling bermakna dalam hidup saya apabila mendapat pingat emas di pentas AUG 2024.

“Terima kasih kepada ayah, ibu dan adik-adik atas sokongan tanpa mereka mustahil untuk saya berada di pentas podium hari ini,” kata penuntut jurusan Pengurusan Maritim Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kelahiran Kampung Jelawat, Bachok, Kelantan tersebut.

Sementara itu, Kolam Renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) yang turut menjelmakan pingat emas pada Rabu, juga pentas perenang negara kembali menampilkan belang masing-masing.

Tan Khai Xin tampil cemerlang dengan kudrat kuak apabila merangkul emas apabila mengungguli acara 400 meter (m) rampaian individu lelaki dengan catatan 4:42.70 saat (s).

Khai Xin sekali lagi menampilkan aksi cemerlang apabila gandingan bersama dibarisi Terence Ng Shin Jian, Low Zhen Yong dan Hii Puong Wei meraih emas ketiga negara dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki (7:38.24s).-Sinar