Skip to main content

Sukan Lain

Atlet berbasikal ATM gagal ujian doping

berbasikal_1.jpg
Atlet berbasikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Shahrul Afiza Fauizan, digantung selama empat tahun selepas ujian air kencingnya positif bahan terlarang dadah kelas
satu, steroid anabolik.


Ujian air kencing yang dijalankan ke atas pelumba terbabit pada 19 Oktober 2017 ketika Jelajah Malaysia positif bahan terlarang, namun surat tunjuk sebab daripada pelumba itu memberikan alasan ia adalah untuk masalah alahan.

Alasan itu gagal memuaskan panel doping Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang mahukan penjelasan lebih jelas dalam pendengaran yang berlangsung, hari ini.

Lebih serius, sesi pendengaran yang berlangsung di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu, Shahrul gagal menghadirkan diri.

"Panel ini telah ditubuhkan dan penjelasan yang telah diberikan tidak kukuh tetapi Shahrul tidak hadir dalam pertemuan hari ini," kata Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill.

Panel itu sebulat suara menetapkan penggantungan empat tahun ke atas pelumba terbabit bermula 19 Oktober 2017 hingga 18 Oktober 2021.

"Dia akan digantung selama empat tahun dan tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan yang akan dianjurkan," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video