Skip to main content

Sukan Lain

ASG: Malaysia perlu ambil langkah awal ungguli edisi ke-12

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

izmi-ismail-asg.jpg
Chef-de-mission (CDM) ke Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN 2019 (ASG), Izmi Ismail, optimis untuk melihat Malaysia sekali lagi menjadi juara keseluruhan dalam edisi ke-12 di Filipina tahun depan jika beberapa perkara diperbaiki . 

Kesungguhan kontinjen ASG negara selaku juara bertahan harus diberikan pujian walaupun gagal mencapai sasaran 24 pingat emas dalam kempen di Semarang, Indonesia yang berakhir kelmarin. 

Bagaimanapun, beliau yakin jika mutu program akar umbi dipertingkatkan dan kem latihan pusat bagi sukan berpasukan dipanjangkan, maka Malaysia akan menjadi lebih ampuh dalam edisi tahun depan.

"Sukan berpasukan harus dirancang lebih awal daripada segi latihan dan latihan pusat.

"Ia langkah yang amat penting," ujarnya. 

Selain itu, Izmi juga berharap kontinjen negara mampu membawa wasit juri seperti negara lain sempena edisi tahun depan.

"Ia ada dalam perancangan tetapi oleh kerana kekangan tertentu yang saya sendiri kurang pasti, ia menyebabkan wasit juri kami tidak dapat hadir (kali ini). 

"Sudah semestinya dalam penjurian, ia berbentuk subjektif. 

"Pada pandangan kami, seseorang atlet itu tampak bagus tetapi mungkin ada kriteria-kriteria tertentu dalam pemberian markah pada pengamatan juri," tambahnya. 

Dalam edisi ke-11 itu, tuan rumah, Indonesia, merangkul gelaran juara keseluruhan dengan 43 pingat emas, diikuti Thailand, 33 emas, dan Malaysia di tangga ketiga dengan 18 emas.


 

Advertisement

Must Watch Video