Skip to main content

Permotoran

ARRC: Zaqhwan, Fakhrusy cemerlang di India

zaqhwan-in-action-during-race-1.jpg
Mohd Zaqhwan Zaidi bangkit menebus kekecewaan pusingan lalu apabila muncul juara Perlumbaan 1, SuperSports 600cc, Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang berlangsung di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, India, hari ini.

Kemenangan pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu juga menyaksikan pemburuan gelaran juara keseluruhan musim 2017 semakin sengit apabila hanya 21 mata yang menjarakkan kedudukan dalam kelompok lima pelumba teratas.

Dalam saingan 16 pusingan Perlumbaan 1, Zaqhwan yang memulakan perlumbaan dari petak kedua bermula baik untuk mendahului perlumbaan dan tenang mengekang cabaran Taiga Hada (RAMA Honda by NTS T.Pro Ten) sehingga ke penghujung perlumbaan untuk muncul juara dengan masa keseluruhan 27'20.721s.

Taiga di tangga kedua dengan masa 27'21.347s, diikuti Yuki Ito (Yamaha Racing) ketiga dengan masa 27'21.710s.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana dapat merapatkan jurang dengan Azlan, namun ia bukan sesuatu yang mudah kerana kami berhadapan dengan cuaca panas, ditambah dengan keadaan litar yang tidak begitu rata memerlukan penggunaan tenaga dan fizikal yang lebih. Mudah-mudahan saya dapat mencatat keputusan serupa dalam perlumbaan kedua esok," jelas Zaqhwan.

Kemenangan ini kembali menghidupkan peluang Zaqhwan untuk mempertahankan gelaran keseluruhan apabila naik ke tangga kedua dengan 118 mata setelah pendahulu, Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 untuk mengumpul 124 mata. Taiga di tangga ketiga juga dengan 118 mata.

Yuki berada di tangga keempat dengan 109 mata, diikuti rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira di kedudukan kelima dengan 103 mata.

Sementara itu, Tomoyoshi Koyama (RAMA Honda) meraih kemenangan pertama dalam kelas Asia Production apabila menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 22'07.059s, mengatasi Anupab Sarmoon (YAMAHA Thailand Racing TEAM) di kedudukan kedua dengan masa 22:07.176s. Pelumba Indonesia, Galang Hendra Pratama (Yamaha Racing Indonesia) ketiga dengan masa 22:11.328s. 

Kedudukan pendahulu keseluruhan kekal milik Gerry Salim (Astra Honda Racing Team) dengan 175 mata, dikuti Anupab, 135 mata dan Koyama ketiga, 127 mata.

Dalam saingan Underbone 150cc, tiga pentas podium milik pelumba negara, dengan Fakhrusy Syakirin Rostam (SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing) meraih kemenangan ketiganya pada musim ini dengan catatan masa keseluruhan 19'14.180s.

Md Haziq Fairues (UMA Racing Yamaha Maju Motor) muncul naib juara setelah menamatkan 10 pusingan perlumbaan dengan masa 19'14.358s, diikuti Azroy Hakeem Anuar (Yuzy Honda Vietnam Racing Team) ketiga, 19'14.432s.

Kemenangan ini membantu Fakhrusy naik ke tangga ketiga keseluruhan dengan 102 mata manakala Md Akid Aziz yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat kekal mendahului kedudukan dengan 144 mata. Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) kekal di tangga kedua dengan mengumpul 120 mata.

Advertisement

Must Watch Video