ARRC
ARRC: Helmi sasar podium
Mohd Helmi Azman meletakkan sasaran perbadi untuk sekali lagi meraih podium dalam saingan Underbone 150cc dalam Pusingan 5, Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, India dari 22 hingga 24 September ini.
Pelumba Onexox TKKR Racing itu berkata dia optimis mampu mengulangi pencapaian meraih tempat ketiga dalam Perlumbaan 1 dan muncul naib juara dalam Perlumbaan 2 dalam aksi pusingan 4 di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia, bulan lalu.
“Aksi saya pada musim ini agak konsisten kecuali sewaktu di Suzuka. Dua podium yang diraih di Indonesia meningkatkan keyakinan saya untuk sekali lagi menaiki podium pada minggu ini,” jelas Helmi yang kini berada di tangga keempat keseluruhan dengan 87 mata.
Iklan
“Pasukan juga menyediakan jentera yang bagus. Cuma keadaan litar sepanjang 3.717 kilometer itu agak asing bagi saya dan pasukan, namun kami yakin dapat menyesuaikan diri dengan cepat.”
Selepas empat pusingan, rakan senegara, Md Akid Aziz (UMA Racing Yamaha Maju Motor) mendahului carta keseluruhan dengan 131 mata, diikuti pelumba Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) kedua, 115 mata dan Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Kage Motobatt Yamaha YY Pang Racing) ketiga, 94 mata.
Kali terakhir saingan ARRC berlangsung di Litar Lumba Motor Madras, Chennai adalah pada tahun 2013.
Must-Watch Video