HOKI
ACT: Pasukan hoki kebangsaan tiada pilihan harungi jadual padat
Pengendali hoki kebangsaan, Arul Selvaraj, hanya akan menyenaraikan 20 pemain ke Dhaka, Bangladesh, bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT).
Lima pemain terpaksa digugurkan daripada kem kebangsaan dengan salah satunya adalah penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, yang masih belum pulih daripada kecederaan lutut serius.
Arul juga menjelaskan tidak menggunakan khidmat barisan pemain remaja yang dilihat menyinar dalam Kejohanan Hoki Dunia Remaja memandangkan mereka masih lagi dalam tempoh kuarantin.
Iklan
Dalam masa yang sama, ketua jurulatih negara itu melahirkan kegusaran mengenai jadual kejohanan yang dilihat padat tanpa ruang rehat buat pemain yang akan beraksi dalam format liga sepusingan.
"Ini sesuatu yang unik kerana FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) pun meluluskan (jadual perlawanan) hoki antarabangsa yang memerlukan pemulihan yang betul.
"Pada pandangan saya, mereka tidak kisah mengenai pemain. Kebiasaannya selepas mengharungi dua perlawanan, pemain perlu rehat sehari selain memerlukan 24 jam untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya.
"Tidak mengapa kami akan beraksi dalam dua perlawanan berturut-turut kemudian rehat sehari. Selepas itu kami terpaksa mengharungi tiga perlawanan berturut-turut. Saya agak terkejut dengan jadual seperti ini.
"Apapun, semua pasukan juga begitu jadi kami akan turun beraksi sahajalah," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Must-Watch Video