BERBASIKAL

ACC: Aisyah Zubir raih perak, Izzah Izzati pertahan gangsa

Stadium Astro
Muhammad Saufi
23/02/2025
14:54 MYT
Sponsor Banner
ACC: Aisyah Zubir raih perak, Izzah Izzati pertahan gangsa
Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, mencipta sensasi Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 selepas merangkul pingat gangsa menerusi acara pecut individu elit di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.
Ini merupakan pingat kedua peribadi buat Izzah selepas membantu trio pecut berpasukan negara mempertahan pingat perak, Jumaat lalu.
Malah, atlet berusia 22 tahun itu turut berjaya melakar dua rekod kebangsaan baru — ketika bersama skuad pecut berpasukan disamping Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Mohd Farid- serta ketika dalam pusingan kelayakan pecut individu.
Jentera miliknya WX-R Vorteq yang berteknologi terkini itu diberikan kepadanya usai kejayaan menempah slot merit ke Sukan Olimpik Paris lalu.
Ini merupakan bulan keenam dia bersama jentera itu, dengan Izzah tampak serasi dengan jentera itu.
"Keserasian basikal ini saya sudah sangat selesa, ia memberikan semangat. Saya teruja dan gembira. Pada awalnya saya banyak bertanya kerana rasa lain pada awalnya.
"Ramai yang beri nasihat dan kita yang terapkan sendiri." katanya.
Dalam pada itu, percubaan kali ketiga Nur Aisyah Mohamad Zubir untuk meraih pingat di pentas Asia dalam saingan individu akhirnya dinoktahkan selepas muncul kedua terbaik acara scratch elit.
Aisyah yang turun beraksi di Velodrom Nasional buat kali pertama dengan status olimpian, memperagakan kayuhan terbaik untuk merangkul pingat perak untuk menamatkan saingan dibelakang Lee Sze Wing dari Hong Kong.
Lebih bermakna, sumbangan pingat Aisyah ini menjadikan kutipan pingat kem negara kepada lima pingat secara keseluruhan, sekali gus mencapai sasaran ketua jurulatih, Mohd Harnizam Basri, bagi kempen ACC kali ini.
"Saya tidak jangka boleh menang tetapi saya berjuang untuk menang. Sebelum ini dapat nombor empat dalam acara sama di KL. Ini podium ketiga saya secara peribadi.
"Saya berpuas hati kerana persediaan saya untuk berbasikal trek belum 100% lagi." tambahnya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video