OLAHRAGA
Acara ditangguh ganggu tumpuan Khairul Hafiz
Atlet pecut lelaki negara, Khairul Hafiz Jantan, nyata tidak mampu menyaingi bekas raja pecut Asia Tenggara, Jirapong Meenapra dari Thailand apabila sekadar berpuas hati di tempat kedua bagi acara akhir 200 meter di Terbuka Singapura, hari ini.
Khairul Hafiz mencatat 21.51 saat di belakang Jirapong dengan perbezaan masa 0.18 saat, sekaligus melihat wakil Thailand itu merangkul pingat emas.
G. Aravin Thevar pula raih gangsa dengan catatan 21.51 saat manakala Badrul Hisham Abdul Manap ketinggalan di tempat kelima dengan catatan masa 21.71 saat.
Iklan
"Semalam, masa saya lari di separuh akhir, kami dimaklumkan bahawa acara final akan diadakan di sebelah petang. Tetapi acara tersebut ditangguh hingga ke pagi ini.
"Larian di waktu pagi jam 8.45 agak menyukarkan kerana kekurangan tenaga," ujarnya.
Sementara itu, dalam acara wanita akhir, wakil tuan rumah, Veronica Shanti Pereira membuktikan dirinya cukup serasi dengan trek di Singapura untuk meraih pingat emas dengan catatan masa 23.87 saat.
Veronica turut mengungguli acara tersebut dalam kejohanan sama, April tahun lalu.
Pingat perak menjadi milik ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, dengan catatan 23.94 saat, diikuti S. Komalam Shally di tempat ketiga dengan catatan 24.30 saat.
Must-Watch Video