Skip to main content

Sukan Lain

16 pemain ragbi bakal ikat kontrak dengan MSN

krm.jpg
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) memberi jaminan seramai 16 pemain dalam skuad ragbi 7s negara bakal menandatangani kontrak dengan Majlis Sukan Negara (MSN) selewat-lewatnya minggu depan untuk program latihan tahun ini menjelang Sukan SEA Filipina.

Skuad 7s negara berada dalam kluster tiga sistem tiering dengan misi mempertahankan pingat emas dalam temasya dwitahunan itu.

Setiausaha Kehormat KRM, Jamaluddin Salim, menjelaskan setiap 16 pemain sudah pun meneliti dan memahami keperluan dalam kontrak yang perlu dituruti di mana mereka akan mula mengikuti program ditetapkan minggu depan.

Tiada perubahan besar daripada segi elaun, khususnya buat skuad negara, walaupun program latihan baru diperkenalkan tahun ini.

"Pihak KRM dan MSN telah berbincang sebelum ini bagi menentukan perancangan menghadapi Sukan SEA Manila 2019. Minggu depan kontrak akan diberikan kepada barisan pemain yang berada dalam program yang telah ditetapkan," kata Jamaluddin.

Selain itu, satu seminar pengurusan KRM berlangsung hari ini di mana mereka ketika ini bekerja keras mencari peruntukan tambahan bagi memastikan Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) berjalan lancar apabila 50 peratus bajet terpaksa dikurangkan tahun ini.

"Untuk NRDP, MSN telah memberikan peruntukan kurang 50 peratus daripada tahun lalu. Apa yang telah dijanjikan adalah RM2 juta tetapi kami memahami kerana setiap perbelanjaan yang diberikan oleh MSN bergantung kepada pihak Kementerian Kewangan."
 

Advertisement

Must Watch Video