Skip to main content

Badminton

V Shem-Wee Kiong perlu kekal positif -- Jeremy

jeremy-gan.jpg
Selepas sekian lama mendiamkan diri,  jurulatih beregu negara, Jeremy Gan, akhirnya membuka mulut mengenai isu kejatuhan anak buahnya, beregu nombor satu negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Masa depan gandingan pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu bakal ditentukan 18 September ini.

Jeremy merupakan jurulatih yang mula membentuk V Shem-Wee Kiong bersama-sama Pang Cheh Chang pada 2014 sehingga gandingan itu berjaya menduduki ranking no.1 dunia.

Siapa sangka saat ini tahun lalu, Jeremy dan anak buahnya itu sedang meraikan kejayaan ke final Sukan Olimpik Rio, sekaligus menutup tirai 2016 dengan gemilang.

Jeremy akur merasai kepedihan melihat anak buahnya yang kemungkinan dipisahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam mesyuarat jawatakuasa kejurulatihan dan latihan (C&T) nanti.

"Saya amat sedih dengan apa yang berlaku. Yang penting, mereka perlu berdepan situasi ini dengan pendekatan positif.

"Mereka kalah kerana persembahan tidak baik dan mereka juga mengakui persembahan mereka tidak memuaskan," kata Jeremy.

Jeremy turut berkongsi cerita sebenar bahawa kedua-dua pemain itu sebenarnya tidak ada masalah peribadi di antara mereka.

Sebaliknya, tekanan daripada pelbagai pihak di samping keputusan tidak memberangsangkan daripada kejohanan sepanjang musim ini meruntuhkan komunikasi dan keyakinan mereka.

"Mereka sedih dengan BAM kerana persatuan telah menetapkan keputusan untuk mereka. 

"Saya rasa biar mereka yang membuat keputusan itu. Yang penting, perlu positif dengan apa yang berlaku," tambah Jeremy.

Sementara itu, enam pemain daripada skuad senior beregu lelaki berupaya menjadi rakan gandingan Wee Kiong dan V Shem, namun enggan didedahkan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost.

Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin -- finalis Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 -- serta Low Juan Shen dan Chooi Kah Ming memiliki pengalaman beraksi dalam skuad senior sebagai beregu sandaran.

Goh Sze Fei dan Izzudin Rumsani pula adalah pilihan daripada kalangan beregu muda berkualiti.

"Buat masa ini, masih tiada sebarang perkembangan. Saya dan Soon Kit masih berbincang siapa yang bakal digandingkan pada masa akan datang," ujar Frost.

Bagi Frost, Malaysia perlu menerima hakikat mesyuarat C&T BAM, Isnin depan akan menyaksikan perubahan dalam skuad beregu lelaki, tidak kira apa keputusannya.

Pada masa sama, pencapaian V Shem dan Wee Kiong tetap perlu diangkat dan dijadikan pengajaran.

"Inilah kehidupan. Ia berlaku. Bagi saya, mereka telah beraksi dengan cemerlang. Mereka berjaya meraih pingat perak di Olimpik, muncul juara di Dubai dan Terbuka Denmark selain daripada menduduki ranking no.1 dunia.

"Mereka perlu bersyukur dan berbangga dengan pencapaian ini," tambah Frost.

Advertisement

Must Watch Video