Ng Tze Yong yang dalam pemulihan kecederaan belakangnya yang sudah berlarutan lama masih belum cergas untuk perlawanan kompetitif dan dijangka terlepas kejohanan Terbuka Malaysia bulan depan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk menggugurkan nama Tze Yong bagi kempen pembuka tirai musim 2025 di Arena Axiata dari 7-12 Januari itu.
“Kemajuannya bagus tetapi kami tidak mahu dia setakat turun dan beraksi. Kami mahukannya di tahap terbaik dan melakukan yang terbaik.
“Kenneth (Jonassen) akan mula bertugas pada 5 Jan dan dia akan memantau keadaan Tze Yong. Dia berkemungkinan besar tidak dapat bertanding pada Januari kelak,” kata jurulatih perseorangan lelaki negara, K.Yogendran, kepada The Star.
Kedudukan Perseorangan lelaki itu jatuh ke kedudukan 192 dunia sejak dibelenggu kecederaan belakang dalam Terbuka Malaysia tahun ini hingga memaksanya menjalani pembedahan berturut-turut.
Pemain kelahiran Johor itu hanya beraksi satu perlawanan penuh tahun ini dan telah menghabiskan sebahagian besar tahun ini untuk pulih sepenuhnya.
Tze Yong perlu membuat kemunculan semula dalam tempoh beberapa bulan pertama tahun depan bagi mengekalkan penyertaan dalam kejohanan utama.
Bagaimanapun, Yogendran berpandangan bahawa pemain berusia 24 tahun itu telah menyerlahkan kemajuan dalam latihan.
Shaiful Shamsudin
Mon Dec 02 2024