BADMINTON

Tiga kejohanan besar dilepaskan Zii Jia selepas dapat ranking perlindungan

Stadium Astro
Zaki Zainal
27/03/2025
07:28 MYT
Sponsor Banner
Tiga kejohanan besar dilepaskan Zii Jia selepas dapat ranking perlindungan
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, bakal terlepas sekurang-kurangnya tiga bulan aksi kompetitif selepas menerima ranking perlindungan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Berikut adalah tiga kejohanan utama yang tidak akan disertainya:
1. Piala Sudirman
Ketiadaan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu dalam kejohanan berpasukan ini bermakna dia tidak berpeluang menambah koleksi dua pingat gangsa yang dimenanginya pada edisi 2021 dan 2023.
Ia merupakan tamparan besar buat Zii Jia dan skuad negara, terutama selepas prestasi cemerlangnya di Piala Sudirman 2023.
Ketika itu, Zii Jia tidak tewas dalam semua perlawanan yang disertainya dan memainkan peranan penting membantu Malaysia meraih pingat gangsa.
2. Terbuka Thailand
Walaupun kejohanan super 500 ini mungkin dianggap kurang penting oleh sesetengah pihak, ia mempunyai nilai sentimental buat Zii Jia.
Pemain nombor sembilan dunia itu memenangi Terbuka Thailand sebanyak dua kali – pada 2022 dan 2024, menjadikannya kejohanan yang paling banyak dimenanginya sepanjang karier.
Kemenangan di kejohanan ini tahun lalu menjadi titik permulaan kepada prestasi cemerlang Zii Jia yang akhirnya membawanya memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris.
3. Masters Malaysia
Terlepas peluang beraksi dalam Masters Malaysia bermakna Zii Jia juga kehilangan peluang bermain di depan penyokong tanah air pada tahun ini, selepas turut tidak beraksi dalam Terbuka Malaysia pada Januari lalu.
Tahun lalu, Zii Jia mencatat pencapaian terbaiknya di gelanggang sendiri apabila mara ke final Masters Malaysia, di mana dia memberikan saingan hebat kepada Viktor Axelsen sebelum tewas dalam pertarungan tiga set.
Walaupun tewas, peminat tempatan teruja melihat pemain perseorangan lelaki Malaysia mara ke final selepas sekian lama. Kali terakhir pemain negara melakukannya ialah Lee Chong Wei, yang memenangi Terbuka Malaysia 2018.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video