BADMINTON
Terbuka Jepun: Chong Wei ditemani Seu Bock
Datuk Lee Chong Wei kembali bergandingan dengan bekas jurulatih perseorangan lelaki, Tey Sey Bock, untuk menghadapi saingan Siri Super Terbuka Jepun yang bermula Selasa ini.
Langkah itu diambil berikutan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, akan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Isnin ini.
Peluang ini terbit memandangkan Chong Wei dan anak buah Seu Bock, Soniia Cheah, merupakan wakil tunggal naungan BAM.
Iklan
"Hanya Seu Bock akan menemani kami di Jepun kerana cuma ada seorang wakil perseorangan lelaki dan wanita negara yang akan beraksi.
"Saya menerima keputusan itu kerana Seu Bock juga kadang-kadang membantu saya.
"Tidak kisah siapa yang akan membimbing saya, saya akan menuruti arahan jurulatih.
"Walaupun sudah tidak ada kejohanan besar lagi bagi baki saingan tahun ini, saya akan tetap turun dengan misi utama untuk memberi fokus.
"Selaku penyandang juara Terbuka Jepun, saya akan cuba memberikan aksi terbaik," katanya.
Selain mahu mengekalkan kejuaraan Terbuka Jepun, Chong Wei juga berbicara mengenai kalendar 2018 yang memuatkan saingan penting seperti Sukan Komanwel dan Piala Thomas.
Pemain itu juga menegaskan hubungan kekeluargaan skuad perseorangan lelaki yang diketuai Misbun akan menjadi sandaran untuk dia kembali bangkit.
"Situasinya tetap sama seperti sebelum ini, kami tetap mempunyai empat jurulatih perseorangan.
"Ketika ini, BAM mempunyai Misbun, Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayob. Kami akan bekerjasama sebagai sebuah keluarga.
"Kami tidak boleh mengharapkan kepada seorang jurulatih sahaja. Kami akan bersama-sama melahirkan pemain pelapis.
"Tahun depan kami akan menghadapi Piala Thomas, mustahil saya diturunkan dalam ketiga-tiga acara perseorangan.
"Saya akan bantu tiga pemain pelapis yang lain.
"Tidak kisah sama ada menang atau kalah, yang penting kami berjuang."
Must-Watch Video