Juara Terbuka Jepun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, semakin menunjukkan prestasi terbaik apabila sekali lagi melangkah ke pentas akhir Terbuka China menewaskan gandingan di ranking ke-88 dunia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin, dalam pertembungan straight set di Gimnasium Xincheng, China, sebentar tadi.

Pertemuan kali kedua itu menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin mendahului 15-12 sebelum membenarkan wakil dari Indonesia itu melakukan kebangkitan untuk memenangi set pertama 21-15 dalam tempoh 15 minit.

Aksi di set kedua tampak sengit apabila tiada perbezaan mata sebaliknya kedua-dua beregu mencatatkan kedudukan 10-10 tatkala gandingan ranking ke-12 dunia itu kekal konsisten meneruskan momentum menidakkan peluang Shohibul Fikri-Daniel Marthin untuk mencuri peluang.


Pilihan ketujuh kejohanan berstatus Super 1000 itu tidak berhenti memberi tekanan kepada lawan sambil kerap menyamakan kedudukan untuk tidak membenarkan pasangan lawan terlalu selesa.

Kesilapan yang dilakukan oleh Shohibul Fikri membawa kepada kemenangan 24-22 dalam masa yang mendebarkan buat pasangan negara.

Selepas ini, mereka akan bertemu cabaran sama ada wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, atau rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung esok.