Pertempuran di antara Malaysia dan Jepun akhirnya memihak kepada pemain negara, Anthony Kim, yang muncul juara kategori lelaki A Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Terbuka Malaysia (Mijo).
Hadiah manis itu diraih selepas mengharungi pertembungan play-off yang mendebarkan sebanyak empat kali, susulan kedudukannya dan seteru utama, Kenshi Yada, terus terikat.
Anthony memperagakan pukulan konsisten dengan melakar tujuh birdie, tiga bogey dan lapan par untuk menamatkan saingan dengan keputusan empat di bawah par, 138 pukulan secara keseluruhan.
Ia secara tidak langsung menyaksikan pusingan play-off keempat menjadi miliknya selepas mencatat par manakala lawannya akur dengan pukulan bogey.
"Ini kali pertama saya mengharungi aksi play-off, saya agak gementar memandang ini bagaikan kejohanan remaja terbesar di Malaysia.
"Tangan saya menggigil sampaikan terlepas putt di lubang pertama.
"Namun, saya masih dapat melaluinya dengan baik selepas itu," kata Anthony.
Yada pula berpandangan: "Walaupun pernah beraksi dalam lima play-off sebelum ini, kali ini tempohnya paling panjang.
"Saya melakukan bogey di empat lubang terakhir.
Dalam saingan wanita pula, pemain remaja kebangsaan, Amelia Lee, terpaksa berpuas hati di kedudukan T2 selepas melakar empat birdie, lima bogey untuk mencatatkan 145 pukulan, tiga di atas par.
"Saya patut melakukan lebih baik.
"Saya kurang tenang di penghujung permainan," katanya pula.
Trofi kejuaraan menjadi milik pemain dari negara Matahari Terbit, Manaho Nakayama, yang meskipun mencatat dua birdie, berkelebihan dengan jumlah 142 pukulan, satu di atas par.