BADMINTON
Sukan Olimpik Tokyo: Kian Meng sambil menyelam minum air
Meskipun impian sendiri untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian, ia tidak menghalang Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, untuk membantu taruhan beregu campuran profesional negara dalam temasya berkenaan,Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, untuk berada di kemuncak prestasi.
Mereka akan melaporkan diri ke kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, menjelang temasya sebenar di Jepun, bermula Julai depan.
Kian Meng amat bersemangat untuk membantu pemenang pingat Perak edisi 2016 itu dalam perkongsiannya bersama wakil Astro Arena, Shahrazad Sani, hari ini.
Iklan
"Ini adalah Sukan Olimpik, jadi bukan untuk diri sahaja malah untuk negara.
"Jadi saya sangat teruja.
"Bergantung kepada keadaan kami. Saya akan cuba tolong mereka dengan serius (dalam persiapan) ke Sukan Olimpik," katanya.
Keempat-empat pemain itu sedang menjalani kuarantin 10 hari dan hanya berlatih berasingan di Stadium Juara sebelum dibenar melaporkan diri di ABM bersama wakil Malaysia yang lain.
Memasuki hari keempat sesi latihan, dia mengambil kesempatan itu untuk menimba pengalaman dengan seniornya tersebut bagi memantapkan permainannya.
"Kami tidak mahu lihat terlalu jauh jadi kami fokus (perjuangan) ketika ini iaitu Kejohanan Dunia (hujung November depan).
"Tapi memandangkan perkembangan COVID-19 ketika ini, kami buat setakat yang boleh sahaja. Selebihnya terpulang kepada BWF (Persekutuan Badminton Dunia).
"Saya banyak belajar daripada Peng Soon -- sikapnya dalam latihan yang serius termasuk persiapannya menghadapi Sukan Olimpik.
"Mana tahu ia boleh meningkatkan peluang saya ke temasya Paris 2024."
Must-Watch Video