Skip to main content

Badminton

SSPL: Aksi terakhir jadi penentu dua pasukan teratas

pic-1.jpg
Perlawanan terakhir SS Purple League (SSPL) hari ini dan esok menjadi penentu pasukan mana bakal menawan dua slot automatik ke pusingan akhir musim ini.

Peluang dilihat memihak kepada Kelab Badminton (BC) Puchong United, Petaling BC dan Ampang Jaya BC tatkala Kepong BC yang berada di kedudukan keempat juga mempunyai peluang.

Bagaimanapun, Petaling BC memilih laluan sukar untuk meraih slot itu selepas tewas mengejut 10-12 di tangan Serdang BC dalam aksi keenam liga di Gem In Mall, Cyberjaya petang semalam.

Kekalahan itu menyaksikan Petaling BC wajib menang ke atas pendahulu liga ketika ini, Puchong United BC, di mana kedua-dua pasukan bakal bertembung dalam aksi terakhir esok.

Ketua jurulatih Petaling BC, Ismail Saman, berkata pemainnya beraksi dalam tekanan ketika menentang lawannya semalam.

Dia berkata: "Mula-mula kami sasarkan ketiga terbaik sahaja, namun apabila melihat peluang cerah untuk memburu kedudukan kedua terbaik, saya menyuruh pemain memburu mata yang banyak sehingga pemain beraksi dalam tekanan.

"Selepas ini, kami akan bertemu Puchong United dan ia bukannya sesuatu yang mudah. Apapun, saya akan memberikan motivasi kepada pemain supaya kekal fokus dan mempamerkan aksi sebenar untuk menang dalam terakhir itu nanti."

Dalam satu lagi aksi yang berlangsung semalam, Kepong BC turut meneruskan pemburuan dua slot teratas walaupun kekal di tangga keempat setelah menewaskan Tebrau City BC 13-7.

Lim Chi Wing mendapatkan kemenangan untuk Kepong BC setelah dia memenangi pertarungan perseorangan lelaki ketika menentang pemain Tebrau City BC, Ye Binghong, 3-2 (11-4, 11-8, 4-11, 8-11, 11-4).

Bagaimanapun, Kepong BC gagal meneruskan dominasi dalam acara perseorangan wanita apabila pemainnya, Yeung Sum Yee, kalah kepada pemain Tebrau City BC, Xu Wei, 1-3 (11-6, 6-11, 3-11, 7-11).

Dalam acara beregu lelaki, Kepong BC kembali menyinar setelah gandingan mantap dari Chinese Taipei, Lu Ching Yao-Yang Po Han, menumpaskan Chung Yonny-Tam Chun Hei 3-0 (11-7, 11-8, 11-6) untuk mendahului kedudukan keseluruhan 7-5.

Selepas itu, dalam beregu campuran, gandingan Cheah Yee See-Nur Mohd Azriyn Ayub berjaya mengukuhkan lagi kedudukan menjadi 10-6 buat Kepong BC selepas mereka menang 3-1 (9-11, 11-2, 11-9, 11-10) ke atas Low Hang Yee-Pearly Tan. 

Pemain negara, Soong Joo Ven, melengkapkan kemenangan Kepong BC setelah dia beraksi cemerlang menewaskan pemain perseorangan lelaki Tebrau City BC, Yeoh Seng Zoe, 3-1 (5-11, 11-9, 11-9, 11-6) untuk kejayaan pasukannya semalam.
 

Advertisement

Must Watch Video