BADMINTON
Seluruh England: Zii Jia sedia pertahan kejuaraan
Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, sedia untuk mempertahankan gelaran juara Seluruh England menjelang saingan yang membuka tirai hari ini.
Juara 2021 itu berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, bahawa dia kini lebih bersedia untuk mengharungi kejohanan berprestij itu selepas menjalani tempoh rehat yang secukupnya daripada separuh akhir Terbuka Jerman.
"Setakat ini persiapan agak baik dan keadaan saya berada di tahap yang terbaik. Saya mahu cuba menampilkan aksi yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata Zii Jia.
Iklan
Itu reaksi pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengenai persiapannya sebelum kejohanan berprestij badminton Seluruh England di bumi Birmingham.
Pemain berusia 23 tahun bakal bertemu dengan wakil Jepun, Kenta Nishimoto, di pusingan pertama dan mempunyai rekod tiga kemenangan, satu tewas ke atas pemain tersebut.
Zii Jia mengakui Nishimoto mempunyai pertahanan yang bagus bagaimanapun sudah bersedia untuk menghadapi gaya permainan tersebut.
"Nishimoto seorang pemain yang cukup berkualiti ketika bertahan. Dia juga telah kejutkan Kento Momota sebelum ini, saya mahu menikmati perlawanan dan melakukan yang terbaik."
Sementara itu, pemain beregu campuran profesional negara, Shevon Lai dan Goh Soon Huat sedia untuk menebus kekalahan yang dialami dalam Terbuka Jerman.
Shevon mengakui kecewa dengan prestasi mereka, bagaimanapun bersedia untuk menghadapi saingan di birmingham dan tak sabar nak mempamerkan perkara-perkara yang dipelajari ketika berlatih di Indonesia.
"Kami telah membuat persiapan daripada segi fizikal dan mental. Kami agak kecewa berdasarkan pencapaian kejohanan terdahulu dan telah memperbaikinya bagi Seluruh England," kata Shevon.
"Kami sangat teruja untuk melihat hasil yang diusahakan dalam sesi latihan, dalam masa sama enggan terlalu meletakkan tekanan kerana ia secara tidak langsung persembahan kami nanti."
Must-Watch Video