China menepati ramalan apabila merangkul gelaran ke-11 dengan menewaskan juara 14 kali, Indonesia 3-1 pada perlawanan akhir Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone di Chengdu semalam.
Kejayaan itu diraikan beberapa jam selepas tuan rumah merangkul kejuaraan Piala Uber kali ke-16 selepas turut mengalahkan Indonesia 3-0.
Pemain perseorangan lelaki kedua dunia Shi Yu Qi menyumbang mata pertama apabila menewaskan Anthony Sinisuka Ginting 21-17 pada set pertama, dan meneruskan momentum kemenangan dalam kelas tersendiri dengan 21-6.
Aksi meyakinkan Yu Qi memberikan suntikan semangat kepada beregu nombor satu dunia Liang Wei Keng-Wang Chang untuk menyumbang mata walaupun terpaksa bermandi keringat sebelum mengatasi juara All England 2024 Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-18, 17-21, 21-17 sekali gus mengukuhkan kedudukan.
Bagaimanapun, Indonesia kembali mengurangkan defisit mata apabila Jonatan Christie mempamerkan aksi cemerlang mengatasi pemenang pingat emas Sukan Asia 2022 Li Shi Feng dalam pertarungan sengit 21-16, 15-21, 21-17 untuk menghidupkan semula harapan untuk Indonesia.
Bagaimanapun, beregu kedua Indonesia gagal Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana terlepas peluang mengikat kedudukan sekali gus mengheret kepada perlawanan penentuan apabila tewas 11-21, 15-21 kepada pasangan He Ji Ting-Ren Xiang Yu.
Ammar Hakim
Sun May 05 2024