Skip to main content

Badminton

Paulus akui gagal kembalikan prestasi terbaik V Shem-Wee Kiong

baddd.jpg
Jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman, mengakui gagal membantu untuk memulihkan kembali semangat dan prestasi yang pernah dicapai Goh V Shem dan Tan Wee Kiong ketika bergelar pasangan nombor satu dunia dua tahun lalu.

Paulus, yang mula melatih pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu pada Mac 2018, telah mencuba yang terbaik tetapi tidak mampu untuk menghadirkan keputusan positif.

"Saya tidak memiliki masa yang secukupnya untuk melakukan perancangan dalam program latihan bagi mengembalikan persembahan terbaik mereka," katanya.

Mengakui ketiadaan V Shem dan Wee Kiong merencatkan pelannya dalam memastikan Malaysia mempunyai pencabar kuat untuk beregu lelaki dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, Paulus terpaksa meneruskan program sedia ada dengan memberi tumpuan kepada pasangan meningkat naik seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin.

"Walaupun mereka tidak bersama kami, V Shem-Wee Kiong masih lagi memiliki sasaran yang sama, iaitu mempamerkan aksi cemerlang untuk negara. Kami akan meneruskan dengan barisan pemain yang masih kekal dalam BAM."

Pengendali Kelab Badminton (BC) Petaling, Ismail Saman, menjelaskan bahawa pasukannya sedia membantu V Shem dan Wee Kiong daripada sudut fasiliti dan program latihan dalam membantu mereka melayakkan diri ke Olimpik Tokyo.

V Shem sudah pun berkhidmat selama enam tahun bersama Petaling BC dalam aksi Purple League, sebaliknya Wee Kiong tidak terikat dengan mana-mana kelab ketika ini, namun ia bukan masalah dan perbincangan akan dilaksanakan jika mereka masih berminat untuk bernaung dalam pasukan yang sama.

"Ia merupakan keputusan mereka untuk keluar daripada BAM. Sekiranya mereka mahu menyertai Petaling, kami akan membantu memastikan hala tuju V Shem dan Wee Kiong dengan Olimpik Tokyo 2020 menjadi keutamaan," kata Ismail.
 

Advertisement

Must Watch Video